Saya ke KL lagi. Kali ini bersama Ust Ibrahim Kisab untuk menyertai Mesyuarat Penyemakan Teks al-Quran kali pertama bagi tahun 2010 ini.

Tiba di KLIA jam 12.40 tengahari, kami dijemput oleh Pak Yunos Hashim, pegawai Unit Kawalan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam 1 tengahari.

Dalam perjalanan ke tempat penginapan, kami singgah makan tengahari di Restoran Saba’ yang semakin terkenal di Cyberjaya. Restoran ini dibuka pada¬†menjelang¬†tengahari dan tutup pada lewat malam. Menunya berasaskan makanan Arab.

Setiba di situ, restoran dikunjungi ramai pelanggan. Meja-meja dipenuhi dengan hidangan. Memang Pak Yunos ada mengingatkan, makanan di sini istimewa dan sedap, cuma kena bersabar menanti antara 30-45 minit untuk mendapat meja dan menu yang diminta, khususnya pada waktu puncak.

Lokasinya sesuai. Saya perhatikan, agak ramai di kalangan orang Arab dan berkulit hitam menjamu selera di sini selain anggota perkhidmatan awam dan swasta yang bekerja di sekitar kawasan ini.

Restoran Saba’ terletak bersebelahan dengan Kolej Antarabangsa Cyberjaya. Saba’ merujuk kepada sebuah kerajaan zaman dahulukala di Yaman yang diperintah oleh Ratu Balqis.

Alhamdulillah, menjamu selera di sini mengingatkan saya makanan-makanan Arab yang baru dirasai seminggu yang lalu di Tanah Suci. Terubat juga sedikit kerinduan terhadap suasana Tanah Suci.

Ada maklumat mengatakan sebuah lagi cawangan restoran ini sudah dibuka di Jalan Jelatik, berhadapan LRT Setiawangsa. Insya Allah, ada rezeki pergi lagi.

About these ads