15 Mac 2010 (Isnin)

Selesai zuhur terakhir di Masjid Nabawi, kami kembali ke Hotel Andalus tempat penginapan untuk persiapan keluar. Barangan dikemas dan saya memilih untuk mandi sunat dan terus mengenakan pakaian ihram.

Sungguh, perasaan meninggalkan bumi Rasulullah ini begitu menyayat hati sekali. Entah bila pula dapat berkunjung dan berziarah ke mari lagi. Rasanya kenangan 2 malam di sini begitu manis sekali.

Keselesaan beribadah, solat di awal waktu, berdoa sepuasnya di Raudhah, melintasi maqam Rasulullah dan sahabatnya hampir setiap waktu, menziarahi Baqi, mengunjungi masjid-masjid bersejarah, ketenangan tilawah al-Quran…..

Sekitar jam 3 petang, kami bertolak keluar menuju ke Bi’r Ali atau dipanggil Masjid Miqat Dzul Hulaifah, tempat miqat bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang melewati arahnya.

Dari Masjid Nabawi ke sini, hanya sekitar 10km dan perjalanan ke Makkah selepas itu mengambil jarak 410km pula.

Di masjid ini, semua keluar untuk mengenakan ihram (bagi yang belum tukar pakaian ihram) dan solat sunnat ihram selepasnya. Paling penting niat ihram di sini.

Khusus buat rakan-rakan yang berihram pertama kali, kadang-kadang lucu pula melihat aksi mereka berpakaian ihram. Ada saja yang tidak kena dan tidak selesa pada mulanya.

Namun kebanyakannya seperti saya mengakui bahawa setelah berpakaian ihram ini, perasaan begitu lain dan berdebar sekali. Yalah, ini pakaian ibadah umrah yang tidak dikecapi selalu.

Sepanjang perjalanan, talbiah dikumandangkan dan berselang dengan tazkirah yang dipimpin bergilir-gilir oleh para sahabat diketuai oleh Ust Azam dan Ust Nizam.

Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik. Innal Hamda, Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak.

Tazkirah yang paling menyentuh bagi saya ialah sebagaimana yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Hamid yang begitu bersemangat sekali.

Sambil bas bergerak laju melalui padang pasir dan bukit berbatuan, beliau menyebutkan tentang betapa perjuangan Islam itu sunnahnya melalui kesusahan dan cabaran. Oleh itu tidak wajar kita bersikap malas dan tidak mahu bersusah payah dalam perjuangan.

Memang duduk saja dalam bas yang berhawa dingin, bertalbiah, baca al-Quran, zikir, tidur, termenung ke luar tingkap – itu semua pun meletihkan. Kalaulah perjalanan 5-6 jam itu pun sudah merasa letih, apatah lagi perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah mengambil masa 7-8 hari sebelum baginda tiba di Quba’.

Kami singgah untuk solat maghrib + isyak di sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan Wadi Ummu Ma’bad. Solat kami turut disertai oleh jamaah umrah dari Oman yang kebetulan juga singgah untuk solat di sini.

Ada sebuah kisah yang masyhur berlaku ketika Rasulullah SAW dan rombongan dalam perjalanan hijrah ke Madinah, baginda singgah di sebuah rumah di kawasan padang pasir. Tempat itu dikenali dengan nama Qudaid.

Di rumah itu tinggal seorang perempuan bernama Ummu Ma’bad. Rombongan Rasulullah SAW berhasrat mendapatkan bekalan makanan dan minuman untuk perjalanan yang masih jauh itu.

Ummu Ma’bad seorang yang pemurah. Biasanya tetamu yang datang akan dihidangkan dengan makanan dan minuman tanpa meminta apa-apa bayaran. Namun ketika itu keluarganya kekurangan bekalan makanan.

Ketika itu Rasulullah SAW ternampak seekor kambing yang kurus. Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing yang kurus itu. Setelah diizinkan, baginda berdoa kepada Allah SWT dan mula memerah susu kambing tersebut. 

Dengan izin Allah SWT, kantung susu kambing itu penuh. Semua ahli rombongan dapat meminum air susunya dan Rasulullah SAW sendiri meninggalkan sebekas penuh susu kambing untuk Ummu Ma’bad sekeluarga. 

Ada riwayat menyebutkan bahawa sebelum Rasulullah SAW beredar, Ummu Ma’bad sempat memeluk Islam. Tidak lama sesudah pemergian Rasulullah SAW, sekumpulan pemuda Quraisyh datang bertanya kepadanya tentang rombongan Rasulullah SAW.

Namun sebagai seorang yang telah memeluk Islam, Ummu Ma’bad merahsiakan kedatangan dan perjalanan Rasulullah SAW. Riwayat menyebut, Ummu Ma’bad hidup sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.  

Alhamdulillah, sekitar jam 10 malam, kami selamat tiba di tempat penginapan Hotel Durrah sebelum meneruskan tawaf dan saie pada jam 12 malam.

Bersambung…

About these ads