Wahai hamba-hamba Allah SWT,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah SWT.

Seterusnya marilah menghayati ayat Allah SWT di dalam surah at-Taubah :

“Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

Alhamdulillah, hari ini 12 Rabiul Awwal, bersempena dengan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, kita mengambil kesempatan untuk memulakan solat Jumaat di masjid yang baru ini, mudah-mudahan perjalanan hidup kita bersama masjid ini akan sentiasa bersemangat sebagaimana perjuangan hidup Rasulullah SAW menyebarkan Islam di seluruh muka bumi ini.

Oleh itu, suka kita menyebutkan di mimbar ini akan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang membina sebuah masjid, Allah akan membuatkan untuknya sebuah rumah di dalam syurga”.

Mudah-mudahan mereka yang turut menyumbang sehingga terbina dan siapnya masjid indah yang berharga RM2.7 juta ini bersama kelengkapannya menjadi amal jariah yang berkekalan sehingga hari kiamat.

Hadirin yang dikasihi Allah SWT,

Saat baginda SAW dan para sahabat dikepung sebelum hijrah, mereka kesukaran dan tidak dapat melakukan solat berjamaah kerana tekanan musuh.

Pada hari isnin, 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 kerasulan, iaitu tahun pertama hijrah, Rasulullah SAW tiba di Quba’. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, isnin, selasa, rabu dan khamis. Di sana baginda SAW sempat mengasaskan Masjid Quba’ dan bersolat di dalamnya.

Itulah masjid yang pertama sekali diasaskan atas dasar taqwa selepas baginda SAW menjadi Nabi. Pada hari jumaat, iaitu 12 Rabiul Awwal tahun pertama hijrah, baginda bergerak menuju ke Madinah, menunaikan solat Jumaatnya yang pertama di sebuah kampung bernama kampung Bani Salim bin Auf.

Setelah jumaat itulah, baginda bersama para sahabatnya RA memasuki Kota Madinah secara rasmi pada 12 Rabiul Awwal tahun pertama hijrah.

Di Madinah, antara perkara pertama yang dilakukan oleh baginda SAW ialah mendirikan Masjid Nabawi yang bukan hanya berfungsi sebagai tempat solat sahaja, bahkan menjadi tempat pertemuan, atau pusat hentian atau dipanggil hari ini sebagai one stop centre, menjadi pusat pengajian ilmu pengetahuan, pusat pentadbiran dan perbincangan, pangkalan tentera dan lokasi bermulanya segala gerakan.

Hadirin yang dikasihi Allah SWT,

Sebagaimana ayat yang dibacakan awal khutbah ini, mengimarahkan masjid adalah salah satu tanda keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Adapun matlamat yang ingin kita capai daripadanya adalah menggapai hidayah yang akan menyinari hidup kita dan masyarakat kita.

Apakah makna mengimarah dan memakmurkan masjid?

Memakmurkan masjid maknanya mengisi masjid dengan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat, seperti shalat berjama’ah, mengadakan majlis ilmu dan tazkirah, membaca al-Quran dan buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.

Termasuk juga makna memakmurkan masjid ialah mengusahakan apa sahaja perkara yang boleh menjadikan masjid selesa untuk didatangi dan digunakan, sehingga pada akhirnya masjid merupakan tempat yang disukai untuk dikunjungi oleh ummat Islam.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Panji-panji Islam hanya akan bangkit di atas dasar perkenalan sesama muslim, persaudaraan dan tolong menolong sesama mereka untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

Tidak ada lapangan atau tempat yang lebih baik dan harmoni untuk menyempurnakan persaudaraan itu melainkan di dalam masjid. Iaitu ketika umat Islam dapat bertemu sesama mereka untuk mendirikan solat secara berjamaah sebanyak lima kali setiap hari.

Walaupun kepentingan dan kemaslahatan dunia kadang-kadang boleh memecahbelahkan manusia dan boleh mencetuskan perasaan hasad dengki, sesungguhnya pertemuan secara berterusan dalam menunaikan ibadah solat secara berjamaah merupakan suatu perkara yang boleh memecahkan benteng permusuhan dan perbezaan itu, sekiranya kedatangan dan kehadiran di masjid itu dengan niat yang suci dan tulus ikhlas bukan menjadi orang munafik yang menunjuk-nunjuk dan bermegah dengan ibadahnya.

Ingatilah akan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah di dalamnya melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian”.

Hadirin yang dikasihi Allah SWT,

Suatu perkara yang sepatutnya dititikberatkan dalam mengimarahkan masjid ialah berkenaan dengan majlis-majlis ilmu yang mesti dipupuk disemai dan menjadi budaya masyarakat Islam. Ketahuilah bahawa seseorang yang beribadah dalam keadaan jahil, tidak mengetahui hukum hakam ibadahnya dan cacat aqidahnya, sangat disukai oleh syaitan kerana mudah ia mengganggu dan merosakkannya.

Oleh itu dalam kesungguhan kita beribadah, wujudkan kuliah-kuliah secara tetap. Cari dan undang para ustaz untuk mengajar aqidah, fekah, akhlak, sirah Nabawi, tafsir al-Quran, hadith Rasulullah dan sebagainya.

Perhatikan sebuah hadith Rasulullah SAW :

مَامِنْ قَوْمٍ يَجْتَمِعُوْنَ فِى بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ يَقْرَؤُوْنَ وَيَتَعَلَّمُوْنَ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَيَتَدَارَسُوْنَ بَيْنَهُمْ إِلاَّ حَفَّتْ بِهِمُ الْمَلآئِكَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرُّحْمَةُ وَذَكَرَهُمُ الله فِيْمَنْ عِنْدَهُ

”Mana sahaja daripada suatu masyarakat yang berkumpul daripada rumah-rumah Allah AWJ (masjid-masjid), membaca dan belajar Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi oleh rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk-makhluk yang berada disisiNya”. (H.R. Ahmad)

Apabila kita hidup dalam masyarakat, beribadah dalam keadaan kita mengetahui dan menurut peraturannya maka kita akan menjadi hamba Allah yang beruntung.

Contohnya, jika berlaku kematian, masyarakat kita sibuk dengan kenduri arwah setiap malam, ada yang sehingga 7 malam berturut-turut, ada yang sehingga 40 malam berturut-turut sehingga meninggalkan dan mengabaikan pengimarahan masjid khususnya solat berjamaah.

Sebenarnya itu semua tidak terjadi jika kita mempunyai ilmu dan mempelajari agama Islam dengan sebenarnya. Bayangkanlah peruntukan yang besar dibelanjakan untuk membina masjid yang indah, tiba-tiba ditinggal orang kerana sibuk solat berjamaah di rumah sahaja.

Mudah-mudahan di kampung ini tidak berlaku sebegitu dan kita memahami keutamaan dan kelebihan mendirikan solat di dalam masjid.

Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,

Seterusnya, dalam program pengimarahan masjid, hendaklah kiranya masjid ini mesra kepada semua golongan. Buatkan program yang bersesuaian dengan kaum ibu, dengan kanak-kanak dan dengan remaja dan belia.

Sudah menjadi buah mulut masyarakat, bahawa masjid seolah-olah hanya menjadi lokasi terakhir orang tua dan yang sudah pencen, dan tidak diminati oleh orang muda.

Kalau kita memerhatikan, maka di sana Rasulullah SAW ada menyebutkan antara golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat, pada saat tidak ada perlindungan lain selain daripada Allah, ialah orang muda yang hatinya sentiasa terpaut untuk beribadah kepada Allah dan pemuda hatinya sentiasa terpaut kepada masjid.

Rasulullah SAW tidak menyebut tentang orang tua, kerana menjadi lumrah dan kebiasaan mereka hadir ke masjid. Tetapi bagi orang muda, Rasulullah SAW merangsang mereka agar menjadi pendukung dan pencinta masjid. Bukan setakat untuk hadir menjadi ma’mum, bahkan menjadi penggerak utama dalam mengimarahkan masjid.

Berilah ruang dan peluang kepada semua golongan untuk berperanan dalam mengimarahkan masjid. Contohnya, ruang kepada kanak-kanak menyusun sajadah, ruang orang muda untuk menjadi bilal dan muazzin solat lima waktu dan tarawih, menghidang jamuan kepada anak-anak perempuan dan sebagainya.

Hadirin yang dikasihi Allah,

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan apabila kita mengutarakan persoalan mengimarahkan masjid. Apa yang penting, semua pihak sama ada JK masjid dan penduduk kampung mestilah ikhlas dan membetulkan niat untuk mengimarahkannya, bersedia untuk memperbaiki diri, menunjukkan contoh yang baik serta kreatif dalam merancang dan melaksana aktiviti pengimarahan.

Ingatlah bahawa masjid adalah rumah Allah SWT yang mesti dijaga dengan sebaik-baiknya, sama ada kebersihan hati jamaah, kebersihan zahir masjid, penggunaan dana masjid yang amanah dan jujur, dan sebagainya.

Sebagai penutupnya, mari kita hayati sebuah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sayyidina Muaz bin Jabal RA :

إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ اْلإِنْسَانِ كَذِئْبِ الْغَنَمِ يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ وَالنَّاحِيَةَ، فَإِيَّاكُمْ وَالشِّعَابَ، وَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَالْعَامَّةِ وَالْمَسَاجِدِ.

”Sesungguhnya syaitan adalah serigala pemangsa manusia seperti serigala pemangsa kambing, ia akan menerkam kambing yang ‘jauh dan terpinggir’ maka janganlah kamu berpecah belah, akan tetapi hendaklah kamu berjama’ah, bersama masyarakat banyak dan mengimarahkan masjid”

*****

Khutbah yang disampaikan di Masjid Imam Pg Hj Abd Rauf Kg Pengalat Besar Papar pada 26 Februari lalu bersempena pembukaan masjid baru dan solat jumaat yang pertama.

About these ads