Saya memberanikan diri untuk membaca sebuah lagi koleksi kitab hadith, Syamail Muhammadiah SAW susunan Imam at-Tirmizi yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu versi Indonesia.

Buku ini dijadikan rujukan dan bacaan bersama kami dalam kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan setiap isnin malam selasa, selepas solat maghrib bermula isnin lalu.

Syamail Muhammad SAW ialah himpunan hadis oleh Imam al-Tirmizi tentang Rasulullah SAW dalam aspek kehidupan Baginda iaitu :

1) Fizikal seperti tanda kenabian, rambut, pakaian, pedang serban, tempat tidur dan lain-lain;

2) Perilaku seperti cara berjalan, duduk, makan dan minum, jenis makanan dan sebagainya;

3) Ibadah seperti wudhuk, doa, wangi-wangian, solat Dhuha, puasa, membaca al-Quran dan ibadah lainnya;

4) Akhlak seperti berbicara, ketawa, bergurau, bersyair, bersifat tawaduk, rasa malu dan tangisan;

5) Kehidupan baginda seperti nama-nama gelaran Rasulullah, penghidupan baginda, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah.

Tujuan saya hanya satu. Melihat agar masyarakat mengenali baginda SAW melalui hadith-hadith sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat baginda tentang keperibadiannya yang sangat mulia.

Ramai orang kenal artis sana sini, seperti penyanyi, pelakon, pelawak, juga atlit pelbagai bidang sukan seluruh dunia. Tapi ramai lagi termasuk saya belum mengenali Rasulullah SAW sebenar-benarnya.

Buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd ini ada dijual di pasaran dengan harga RM45.00 (Semenanjung) dan RM47 sahaja (Sabah Sarawak). Dapatkan di Pustaka Aslam, Kingfisher Plaza Likas.

About these ads