Kalau tidak salah, saya memulakan kuliah maghrib subjek tafsir al-Quran di Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut seminggu sebelum dipindahkan ke Istana Negeri, iaitu penghujung oktober 2006.

Dengan serba kekurangan dan kelemahan, saya mencuba sedikit demi sedikit. Kami memulakan kuliah itu dengan mengupas sedikit kepentingan belajar terjemahan dan tafsir al-Quran kepada masyarakat Islam, khususnya kita yang bukan Arab ini.

Huraian surah al-Fatihah, pada minggu kedua dimulakan dan dihabiskan selama 3 kali kuliah maghrib setiap ahad malam isnin. Kemudian surah-surah lazim, beberapa surah terpilih seperti Yasin, as-Sajadah, Luqman, ad-Dukhan, al-Hujurat, an-Nur dan ar-Rahman.

Minggu lalu, kami memulakan surah baru iaitu surah Yusuf pula.

Lebih 3 tahun lalu, ketika memulakan kuliah ini, saya ada berpesan kepada mereka agar memiliki senaskhah terjemahan al-Quran, paling baik ialah Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM.

Setiap kali memulakan surah baru, saya menyediakan nota sebanyak 20 set yang mengandungi surah berkenaan – ayat dan terjemahannya.

Nota yang saya sediakan itu biasanya mereka kumpul dan simpan di rak surau. Tiada catatan tulisan tangan masing-masing kerana menganggap itu milik surau. Maka jamaah akan pulang berlenggang tanpa buku di tangan.

Mulai minggu lalu, spontan saya mengingatkan mereka. Saya tidak lagi menyediakan salinan nota.

Saya sangat berharap masing-masing menginfaqkan sedikit harta untuk membeli tafsir lengkap 30 juz yang berharga sekitar RM50-60 itu, untuk dipelajari bersama-sama demi kebahagiaan dunia hingga akhirat.

Buku milik sendiri boleh catatan sisi, dan dirujuk semula apabila berada di rumah. Itu hasrat saya.

Harapnya, seruan saya lebih 3 tahun lalu akan dipenuhi minggu ini.

About these ads