Sebelum berangkat pulang ke tanah besar Sabah, saya menyinggahkan diri menziarahi Madrasah Tahfiz al-Quran Sri Merinding yang terletak di kampung Layang-Layangan.

Menurut Ust Mohd Nazmi Hj Othman, guru al-Quran yang saya temui di sana menceritakan, Madrasah Tahfiz ini khabarnya sudah beroperasi sejak 1998 di atas tanah Tuan Hj Ariff Aliskah.

Ust Mohd Nazmi, 26 tahun berasal dari Dungun Terengganu dan bertugas di sini sejak 2005, dan berkahwin dengan anak Labuan sejak beberapa tahun lalu.

Hasil pengajian beliau selama beberapa tahun di Kubang Bujuk Terengganu, kini beliau mewaqafkan dirinya dengan mengajar ilmu tahfiz kepada para penuntut di Madrasah Tahfiz berkenaan.

Menurut Ust Mohd Nazmi, kini terdapat 20 orang pelajar berumur antara 10 hingga 21 tahun termasuk 4 orang yang belajar ketika musim cuti persekolahan ini.

Di kalangan mereka, terdapat 4 pelajar dari Negara Brunei Darussalam, 4 dari Sandakan, dan masing-masing seorang dari Kota Belud, Miri dan Kedah; selain 10 orang dari Labuan sendiri.

Selain menghafaz al-Quran, mereka juga diajar dengan pelajaran tajwid, jawi, bahasa arab dan fardhu ain yang menggunakan kitab Mat’la al-Badrain.

Pengajian mereka bermula seawal 4 pagi dengan solat tahajjud dan kelas tasmik (memperdengarkan hafazan kepada guru) diadakan selepas solat subuh.

Kelas  mereka diselang-selikan dengan muraja’ah iaitu mengulangkaji hafazan surah dan juzu’ yang lama. Selain itu, para pelajar juga dididik untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah di surau yang bersebelahan dengan kelas mereka.

Menurut Ust Mohd Nazmi yuran yang dikenakan kepada setiap pelajar ialah sebanyak RM120 sebulan. Beliau juga menjelaskan bahawa madrasah berkenaan telah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam (JAWI) WP Labuan.

Untuk keterangan lanjut boleh berhubung nombor 019-8953285 atau 013-5453284.

About these ads