Posted by: Abu Nuha on: 16 November 2009
Pada minggu lalu, berlangsung Seminar Rasm Uthmani di Dewan Saadah Wisma MUIS anjuran KDN dan kerajaan Negeri Sabah. Ada perkara yang menyentuh hati saya dalam pembentangan yang disampaikan oleh Dato’ Ust Hj Sallehuddin Omar.
Katanya, orang yang meminati dan mengasihi ilmu berkenaan bacaan al-Quran, akan sentiasa mahu, dan mahu dan mahu lagi. Walau sudah khatam al-Quran, ia masih mahu lagi mengaji dengan qiraat dan riwayat lain pula.
Dato’ Sallehuddin pernah bercerita dengan saya bahawa setiap dua minggu sekali beliau turun ke Singapura mengajar al-Quran kepada orang dewasa di sana. Ada yang sudah khatam, kemudian mengaji lagi dengan qiraat dan riwayat lain pula.
Ilmu pembacaan al-Quran sangat luas sekali. Ia bukan direka-reka oleh para alim ulama’ tetapi bersumberkan daripada Nabi SAW sendiri.
Nabi SAW yang mengajar para sahabatnya tentang bacaan-bacaan al-Quran itu. Ada beberapa perbezaan yang baginda ajar sesama para sahabat.
Bahkan ada beberapa kisah menarik tentang perdebatan kalangan sahabat apabila mereka saling mendengar bacaan al-Quran yang nyata berbeza daripada apa yang mereka pelajari – kesemuanya bersumberkan Rasulullah SAW.
Mereka sepakat untuk bertemu Rasulullah SAW bagi menyelesaikan masalah berkenaan dan merujuk, bacaan al-Quran siapakah yang benar. Apabila dirujuk, Nabi SAW mengesahkan bacaan kedua-duanya.
Ilmu itu turun kepada generasi demi generasi sehingga suatu masa disusun dan dijadikan sebagai satu disiplin ilmu yang kemudiannya dikenali sebagai ilmu qiraat.
Di negara kita, ilmu ini dipelajari secara teori dan praktikal di institusi tahfiz. Juga ada silibus tertentu di sekolah-sekolah menengah agama sebagai pendedahan.
Ketika di maahad dahulu, qiraat adalah salah satu subjek yang utama. Ia boleh jadi ilmu yang susah difahami, tetapi menarik kerana jarang dipraktik dan didengar dalam masyarakat kita. Susah dan senang mempelajarinya, bergantung kepada penerimaan masing-masing.
Menyambung pengajian selepas itu ke Mesir pada 2000-2003, ilmu itu terus digilap. Saya akui tidak begitu mahir, bahkan semakin tidak mahir kini.
Ketika di Shoubra, jujurnya saya meminati subjek ini tetapi susah ‘masuk’. Pernah berguru secara talaqqi dengan Shaikh Muhammad Abdun Nabi di Shoubra dan seorang shaikh di Mansoura yang saya lupa namanya.
Beberapa hari seminggu, saya mendatangi rumah dan tempat shaikh berkenaan mengajar anak-anak kecil tentang ilmu qiraat sebelum saya bersama isteri dan anak sulung kembali ke Sabah.
Apabila berada dalam dunia kerjaya, ilmu itu ditinggalkan dan akhirnya hilang sedikit demi sedikit. Tambah lagi dunia kerjaya saya kini tidak berkaitan langsung dengan ilmu qiraat. Saya begitu sedih sekali.
Saya pernah memohon untuk dipindahkan ke maahad untuk menggilap kembali ilmu tahfiz dan qiraat ini tetapi setakat ini jawapannya mendukacitakan.
Kebetulan, apabila saya mengajar al-Quran secara talaqqi di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) di bangunan Wisma MUIS ini juga, saya mendapati ada di kalangan mereka yang bagus tajwidnya.
Apabila mereka khatam pada minggu sudah, saya menawarkan mereka untuk bertalaqqi semula dengan riwayat Warsyh ‘an Nafi’. Insya Allah tengahari ini, kelas berkenaan akan bermula.
Saya akui saya mungkin bukan guru yang terbaik dan bijak untuk qiraat dan riwayat Warsyh ini, tetapi kalau tidak dimulakan sekarang, saya akan semakin rugi dan semakin kehilangan. Sayyidina Ali mengatakan, apabila ilmu disebarkan ia semakin bertambah.
Ilmu saya bergantung dengan apa yang pernah dipelajari, rujukan terhadap kitab-kitab qiraat yang semakin berhabuk di rumah – kerana tidak diguna, web-web ilmiah berkenaan al-Quran dan al-Qiraat yang berlambak di alam maya, juga para masyaikh al-Quran dan al-Qiraat yang sedia membantu.
Sebentar tadi, saya menghubungi Dato’ Sallehuddin Omar, memohon restu, nasihat dan pandangannya. Ringkas saja jawapannya : “Itu baik”.
Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan dan membantu.
1 | Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
29 November 2009 pada 11:22 pm
Salam,
Untuk mendengar siaran radio Qur’an online (qira`at Warsy) sila ke Radio Coran du Maroc di http://www.alihssen.com/RadioOnline/14/Radio%20Coran%20du%20Maroc