IMG_8127

Sudah lama saya menanti peluang berceramah di sebuah sekolah agama yang terkenal ini.

Pada zaman persekolahan dahulu, pasukan bola tampar SMAI TPHR sering bertembung dengan pasukan SMKAKK ini. Walaubagaimanapun pertemuan itu biasanya didasari ukhuwah yang tinggi kerana sama-sama berstatus sekolah agama.

Bahkan ketika itu kedua-dua sekolah ini antara kuasa bola tampar terkuat di KK. Pemain-pemainnya juga pernah bergabung mewakili KK menentang sekolah dari daerah lain.

Saya sangat menghormati sekolah ini. Di sinilah abang saya menimba ilmu. Bahkan keluarga kami pernah tinggal di flat guru sekolah ini pada 93-94 kerana bapa bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri di Sembulan.

Oleh itu setiap hujung bulan saya balik ke mari dari asrama. Biasa bersolat di surau lama sekolah ini dan makan di kantin sekolah.

Jemputan berceramah yang disampaikan oleh Ust Amir Ba’dul saya terima dengan gembira sekali. Kebetulan sepanjang beberapa hari kebelakangan, saya asyik bertemu dengan pelajar sekolah agama.

Jumaat dan sabtu saya bersama rakan-rakan di SMKA Mohammad Ali Ranau, sementara petang semalam saya di asrama putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, menziarahi blok surau yang terbakar.

Kesempatan di SMKA KK selain diberi peluang mengimamkan solat tarawih, sesi tazkirah juga saya isi dengan memperkenalkan Maahad Tahfiz al-Quran dan mempromosi tentang kepentingan menghafaz al-Quran kepada mereka khususnya pelajar tingkatan 5.

Saya dedahkan juga sedikit petua menghafaz al-Quran kepada adik-adik di sana, kerana mereka juga punya tanggungjawab menghafaz beberapa surah tertentu.

Doa saya SMKA KK akan kembali bangkit sebagaimana zaman kegemilangan mereka. Saya mendengar daripada beberapa orang tentang masalah sekolah yang tidak perlu saya sebutkan di sini. Khabarnya prestasi bahasa arab di dalam peperiksaan besar juga jatuh menjunam.

Turut hadir dalam tazkirah sejam itu ialah Ust Sakaria Samela selaku Pengerusi PIBG sekolah dan Cikgu Hj Samin Ongki sebagai timbalannya, bersama guru-guru di sana.

Alhamdulillah, saya mendapat beberapa sahabat baru juga. Terima kasih Ust Amir, Ust Nik Anwar, Ust Zulkifli dan beberapa ustaz lain.

IMG_8133

IMG_8135

IMG_8136

IMG_8138

IMG_8145

About these ads