IMG_7614

Entah siapa gerangan sahabat yang menunjukkan majalah ini kepada kami berdua.

Ia terjadi ketika kami berdua suami isteri berada di Mesir pada 2002. Sejak isteri disahkan mengandung, kami kekurangan bahan bacaan berbahasa melayu berkenaan keibubapaan dan anak.

Pertama kali mengimbas sepintas lalu, ia majalah yang sarat dengan ilmu pengetahuan  khususnya dalam bab keibubapaan ini. Justeru, ia menjadi panduan kami apatah lagi berjauhan dengan orang tua daripada kedua-dua pihak.

Rakan-rakan lain yang sudah berkeluarga walaupun ramai, rata-rata mempunyai anak seorang dua, dan baru mengutip pengalaman yang sedikit, itupun juga menjadi bahan perkongsian kami bersama.

Minggu kedua setelah kembali ke tanahair pada julai 2004, kami balik ke Labuan, kampung halaman saya, membawa anak sulung untuk dipeluk dan dicium ahli keluarga.

Sebelum ke rumah, kami singgah di kedai HOM Enterprise, milik bapa saya yang menjual buku dan alat tulis. Ternampak majalah PA&MA ini, kami mengingat kembali majalah yang dipinjamkan kepada kami ketika di Mesir.

Sehingga saat ini, kami tetap setia dengan setiap keluaran majalah ini. Jika bukan saya, isteri akan membelinya. Hanya sepanjang tempoh itu, kami ada terlepas beberapa keluaran kerana ia kehabisan di pasaran.

Yang menariknya, dalam setiap keluaran ada-ada saja artikel atau rencana yang bersesuaian dengan situasi keluarga saya sendiri yang sudah mempunyai 5 cahayamata ini.

Antara artikel untuk keluaran September 2009 ialah panduan memiliki anak, masalah anak degil, panduan bajet hari raya dan sebagainya.

Juga terdapat artikel perkembangan anak-anak mengikut umur 0-12 bulan, 1-2 tahun, 3-4 tahun dan 5-6 tahun. Juga ada kisah-kisah pengalaman bersalin, soal jawab bersama pakar-pakar dan seumpamanya.

Kami juga pernah menghantar artikel ke majalah ini tentang kelahiran anak sulung, Nuha di Mesir.

Cuma saya musykil, kenapa penjual di sini meletakkan harga terlalu mahal sedangkan terpapar di majalah itu dengan harga RM6.00 sahaja. Di pasaran, harga yang dijual tidak kurang daripada 10 ke 11 ringgit sebuah.

Mana 1 Malaysianya? Mungkin 2 Malaysia atau 3 Malaysia. Walau saya dan isteri tetap membelinya, kasihanilah mereka yang susah tetapi ingin memiliki majalah ini.

(Majalah PA&MA adalah terbitan Karangkraf dan maklumat tentang majalah ini boleh diikuti di sini).

About these ads