IMG_6689

Jam 6.50 pagi, saya bertolak ke Ranau ditemani 2 anak muda yang sering menyertai kuliah maghrib saya di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

Mujur ada teman seperjalanan, boleh bawa sembang dan lebih mengenali mereka. Selama ini setiap minggu mereka hadir, tetapi tidak pernah berjalan, atau minum bersama.

Hardie, 17 tahun  dan Obot 28 tahun, adalah antara pendengar setia kuliah saya di masjid mereka sejak 2 tahun lalu.

Hardie adalah pelajar tingkatan 5 SMK Tansau sementara Obot pemuda kampung yang bekerja sendiri.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi yang saya berkuliah setiap malam minggu sedikit berlainan berbanding tempat lain saya berkuliah. Anak muda remaja dan belianya ramai, apatah lagi ketika ada ceramah tertentu.

IMG_6660

Kami tiba lewat 5 minit berbanding jadual asal program ceramah.

Khusus untuk program ini, ia diatur oleh sahabat saya Ust Md Rezany Taufek, guru yang sudah bertugas di SMKA Mohammad Ali ini sejak 3 tahun lalu.

Rezany adalah junior sekolah, sementara isterinya bersahabat baik dengan isteri saya ketika di sekolah dan di Mesir juga. Nama mereka berdua pun lebih kurang.

Ketika di Mesir, sijil-sijil isteri saya berada di Iskandariah dan di situlah sepatutnya isteri saya belajar. Takdirnya, isteri Rezany yang ditempatkan di situ sementara nama isteri saya sangkut dan tidak dapat meneruskan pengajian selama 2 bulan sebelum lepas dan dihantar ke Mansoura pula.

Ceramah ini diatur oleh Rezany setelah beliau melayari blog Abu Nuha Corner ini, melihat team P.U.M. ligat ke sana ke mari, bahkan ke Ranau juga melintasi 2 kali sekolah mereka menuju ke SMK Lohan yang menjadi jiran mereka dan SMK Timbua yang lebih ke dalam lagi.

Katanya, cemburu melihat kami berprogram dan tidak singgah ke sekolah mereka. Apabila tarikh diajukan, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju.

Alhamdulillah, saya teruja berhadapan dengan 500 pelajar sekolah agama, dimana puteranya lengkap bersongkok dan berkopiah sementara semua puterinya dengan tudung labuh menzahirkan ciri muslimat yang baik.

Ceramah saya berlegar tentang 4 perkara. Matlamat hidup, isra’ mi’raj, kepentingan memelihara aqidah serta persediaan Ramadhan.

Insya Allah persetujuan asas sudah dicapai, bahawa kami akan datang lagi pada Ramadhan untuk program pemantapan aqidah pula.

Terima kasih untuk semua adik-adik di sana, yang mendengar ceramah dan yang melayan ketika kami dijamu makan. Juga ustaz-ustaz yang hadir, Ust Rezany, Ust Wan, Ust Jazlan serta Cikgu Hardi rakan lama saya yang 15 tahun tidak saya temui.

IMG_6661

IMG_6673

IMG_6677

IMG_6675

About these ads