IMG_5926

Jabatan Bomba dan Penyelamat di Sembulan bukanlah asing bagi saya dan rakan-rakan yang pernah bersekolah di SMAI TPHR KK. Khususnya bagi penghuni blok A di asrama putera, kawasan bomba itu terletak seberang jalan di hadapan jendela kami.

Dahulunya saya pernah masuk ke kawasan ini, untuk menyaksikan perlawanan bola tampar antara pasukan sekolah dengan warga bomba. Menarik dan sengit walaupun seingat saya pasukan kami selalu tewas.

Malam ini saya datang sekali lagi, tetapi untuk mengisi program ceramah agama mereka. Asalnya ceramah berkaitan kekeluargaan, dan kemudian diminta menyelitkan sekali perihal integriti penjawat awam.

Ayat al-Quran yang menjadi panduan ceramah kali ini ialah sepotong ayat yang dibaca dalam doa iftitah :

“Sesungguhnya solat kami, ibadah kami, hidup kami dan mati kami semuanya kerana Allah..”

Niat yang tulus, aqidah yang mantap, kefahaman yang jelas tentang makna dan konsep ibadah akan melahirkan manusia yang berintegriti. Tidak hanya di tempat kerja, tetapi juga di mana sahaja ia berada.

Memahami maksud keikhlasan, kewujudan malaikat serta hari kebangkitan dan gerakerja yang tepat menurut syariah. Setiap manusia adalah bertanggungjawab terhadap diri dan orang yang di bawah pimpinannya.

Rasulullah SAW adalah teladan paling jelas sekali. Baginda telah menunjukkan pekerti mulianya dalam semua keadaan. Kepada isteri, anak, cucu, sahabat, bahkan kepada musuh sekalipun.

Terima kasih atas jemputan, khususnya kepada tuan pengarah – tuan Khirudin Drahman, yang saya kenali sangat baik dan bersemangat orangnya. Saya lihat mereka gembira dengan program ini. Mudah-mudahan ia berterusan.

Lebih kurang 150 orang yang hadir, bersama ahli keluarga masing-masing, asyik gelak sakan saja. Jangan ingat yang lucu saja, ingat sama teladan dan iktibarnya.

Beralih keluar meninggalkan kawasan mereka, saya diberikan tabik oleh pengawal.

IMG_5927

IMG_5928

About these ads