Posted by: Abu Nuha on: 26 Jun 2009
Alhamdulillah, pagi tadi dapat juga mengisi ceramah berkenaan yang telah diatur sejak seminggu lalu.
Fokus ceramah tadi ialah berkisar huraian ayat 1 Surah al-Isra. Firman Allah bermaksud :
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad SAW), pada waktu malam, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah menuju ke Masjid al-Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekitarnya; supaya Kami dapat memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
1) Tarikh peristiwa ini berlaku, berdasarkan kedudukan ayat dan surah ini di dalam al-Quran dan tempoh kerasulan baginda. Walaupun terdapat percanggahan pendapat ahli sejarah Islam, salah satu teorinya ialah, ayat & surah ini terletak dalam juzu ke-15, iaitu di tengah-tengah al-Quran.
Ini memberi satu teori dan formula bahawa peristiwa ini berlaku di tengah-tengah kerasulan baginda selama 23 tahun, iaitu sekitar tahun 11 setengah kerasulan. Wallahu a’lam.
2) Subhana, iaitu Maha Suci Allah sebagai salah satu ucapan orang beriman yang diajar oleh Allah SWT. Sebagaimana ucapan alhamdulillah, Allahu Akbar, astaghfirullah, insya Allah dan lain-lain; kalimah Subhanallah juga mempunyai peranan dan keutamaannya yang tersendiri.
3) Asraa, iaitu memperjalankan. Ertinya Rasulullah SAW bukannya berjalan sendiri. Baginda dibawa berjalan oleh kenderaan yang namanya buraq. Pemahaman yang sebenar terhadap kalimah ini, akan menjelaskan perselisihan pendapat sama ada nabi mampu atau tidak pergi ke tempat yang dimaksudkan dalam jangka masa hanya satu malam.
4) Bi ‘abdihi, iaitu dengan hambaNya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kalimah ini lebih menjelaskan bahawa yang dikatakan hamba itu bukan setakat ruhnya, bahkan jasadnya sekali. Saya juga menjelaskan soal kepatuhan kita kepada Allah SWT sebagai hamba pada setiap masa, bukan masa tertentu sahaja.
5) Lailan, ertinya pada waktu malam. Perjalanan waktu malam bertemu Allah SWT menunjukkan keutamaan ibadah qiyamullail. Ketika orang dibuai lena dan mimpi, ketika itu Rasulullah SAW bertemu Allah.
Menjadi ujian yang besar terhadap perkara ghaib bagi masyarakat ketika itu dan kemudiannya, mereka tidak melihat secara jelas perjalanan Nabi SAW. Ini juga menunjukkan, keimanan kita kepada perkara ghaib yang terdapat dalam ayat 3 al-Baqarah.
6) Minal Masjidil Haram ilal Masjidil Aqsa, iaitu bermula dari masjid dan berakhir di masjid. Menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan.
Contohnya memulakan musafir dari masjid, akad nikah di masjid, aktiviti yang baik di masjid dan seumpamanya. Ayat ini juga menunjukkan keutamaan kedua-dua masjid berkenaan dalam Islam.
7) Allazi barakna haulah, iaitu tempat yang Kami berkati sekitarnya. Keberkatan daripada segi bumi yang subur, dan persoalan perjuangan Islam yang begitu kental dihadapi oleh umat Islam di Palestin sehingga kini, dan sebagainya.
Linuriyahu min ayatina, iaitu supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Allah SWT memperlihatkan sebahagian sahaja kebesaran tanda-tanda kebesarannya untuk diambil pengajaran oleh Rasulullah SAW dan umatnya.
Antaranya, kisah baginda singgah bersolat di Madinah, Tursina, Madyan dan Baitullaham; beberapa tamsilan yang menunjukkan kebaikan dan kejahatan manusia serta balasannya; juga ketika gambaran perempuan tua, lambaian kiri dan kanan kepada Rasulullah SAW.
9) Innahu huwas Sami’ ul Bashir, iaitu sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dalam konteks peristiwa isra baginda, apa sahaja tanggapan manusia sama ada Islam atau tidak, Allah SWT Maha Mendengar dan Maha Melihat percakapan dan perbualan serta pendirian manusia.
Ada yang beriman serta merta seperti Sayyidina Abu Bakar dan lain-lain, ada yang tunggu dan lihat, dan ada juga yang kufur dan ingkar kerana berpandukan akal mereka, peristiwa ini langsung tidak masuk dalam kepala otak mereka.
Tentang mi’raj, kita sambung tahun depan. Terima kasih Puan Siti Rahmah yang menjemput saya serta semua warga RTM yang hadir sama. Insya Allah bertemu lagi.
Ulasan