Malam Jumaat lepas, saya menyampaikan ceramah di Masjid PDRM Kepayan.

Program ceramah itu diadakan setiap bulan dan penceramah jemputan dipanggil secara bergilir-gilir. Alhamdulillah, saya berbesar hati menerima jemputan itu.

Sejak wujudnya Badan Agama dan Kaunseling (BAKA) PDRM sejak tahun lepas, nampaknya pegawai di sana mula menyusun program bagi mengimarahkan masjid.

Agakan saya sekitar 80 orang jamaah hadir terutama pegawai dan anggota PDRM sendiri diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Abd Razak Abd Ghani. Saya maklum jamaah berkurangan dan ceramah itu sendiri diadakan dalam cuaca hujan lebat sejak petang.

Pendek cerita, ada 5 syarat bagi menjadikan satu-satu kerja itu boleh menjadi ibadah.

Pertama, niat yang betul dan baik. Contohnya bekerja kerana memenuhi tuntutan fardhu kifayah, menyara keluarga. Bukannya bekerja untuk menjatuhkan seseorang, untuk sombong dan sebagainya.

Kedua, kerja itu halal dan sah menurut syarak. Mencari kerja yang halal adalah wajib. Bekerja dalam perkara yang mengingkari perintah Allah adalah haram. Contohnya menjual arak, insuran riba dan sebagainya.

Ketiga, pelaksanaan kerja itu betul dan menurut syarak. Contohnya soal tuntutan (claim), waktu bekerja, menutup aurat, tidak menipu, tidak menerima rasuah dan lain-lain.

Keempat, natijah yang baik. Ertinya hasil pendapatan disalurkan ke jalan yang baik. Keluarga jangan diabai, zakat ditunaikan serta rajin bersedekah.

Kelima, tidak mengabaikan ibadah asas. Contohnya, solat 5 waktu.

Ceramah berakhir pada jam 7.55 malam sejurus masjid bergelap kerana terputus bekalan eletrik.

About these ads