Kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menyambut tahun baru hijrah 1430.

Para penganjur program sambutan juga sedang membuat persiapan. Antaranya menjemput ilmuan, ustaz ustazah untuk menyampaikan syarahan berkaitan.

Ada beberapa modal atau tajuk ceramah yang dicadang untuk dibawa dalam ceramah atau tazkirah nanti sekiranya penganjur tidak meletakkan tajuk khusus.

1) Sirah hijratul rasul secara terperinci. Bermula daripada hijrah pertama, hijrah kedua sehingga tiba di Madinah.

2) Huraian kepada bulan-bulan Islam dan sejarah nama dan peristiwa-peristiwa penting secara ringkas.

3) Huraian tema maal hijrah tahunan. Untuk tahun ini, tema masih seperti tahun lalu : Menjana Ummah Gemilang.

4) Huraian kepada hadith niat. Hadith 1 dalam buku hadith 40. Ia sangat berkaitan dengan hijrah dan perubahan diri kepada yang lebih baik.

5) Watak-watak utama dalam peristiwa Hijrah. Nabi SAW, Abu Bakar RA, Ali RA, Asma’ RA, Abdullah bin Abu Bakar RA, Amir bin Fuhairah, Abdullah Uraiqat, juga kisah Suraqah serta pengajaran kepada umat Islam pada hari ini.

6) Keutamaan dan peranan masjid dalam perpaduan ummah. Baginda SAW tiba di Quba dan mendirikan masjid, juga apabila tiba di Madinah, baginda mendirikan masjid Nabawi.

7) Strategi hijrah Nabi SAW. Bermalam di gua, melalui jalan yang jarang dilalui orang dan sebagainya.

8 ) Huraian dan tafsir kepada ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hijrah.

9) Kesyumulan Islam. Islam bukan hanya solat, puasa dan haji. Ia merangkumi seluruh kehidupan. Tujuan besar hijrah ialah untuk mendirikan negara dan hukum secara keseluruhan. Jika Islam hanya solat, puasa dan haji, lebih baik tinggal di Makkah.

10) Huraian kepada doa akhir dan awal tahun.

Ini hanyalah cadangan.

Sudah tentu banyak lagi isu-isu atau bahan-bahan lain boleh diketengahkan dalam ceramah, bergantung kepada kemampuan penceramah serta waqii audien yang ada di hadapan kita.

About these ads