(Artikel yang panjang sedikit, sempena Hari Jadi Rasmi TYT. Harap sabar membacanya)

16 September, rakyat Sabah bercuti sempena Hari Jadi Rasmi ke-62 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Hj Ahmadshah bin Abdullah.

Di peringkat negeri, sambutannya akan diadakan selepas hari raya nanti iaitu pada 11 Oktober 2008.

Kebiasaannya diadakan perarakan di Padang Merdeka sebelum Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sabah sekitar jam 10 pagi.

Walaubagaimanapun, tarikh lahir sebenar beliau ialah pada 9 Disember 1946.

Pada malam ini, di Istana Negeri diadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena hari jadi rasmi ini.

Sebagai orang yang pernah dekat dengan Tun Ahmadshah ketika beliau berada di puncak kuasa, saya merasa sedikit bertuah dapat mengenali pemimpin yang baik budi pekerti sepertinya.

Dalam mengatur pergerakan rasmi TYT di Istana, orang-orang yang rapat dengannya antaranya ialah Setiausaha Sulit, Juru Iring TYT atau ADC, para pengiring atau bodyguard dan pegawai agama.

Dalam urusan dalaman dan peribadinya pula, yang lebih mengetahui dan rapat ialah para pemandu, amah atau dipanggil ‘boy’.

Walaupun bertugas dalam masa yang singkat iaitu setahun 4 bulan sahaja, tidak sedikit pengalaman yang saya kutip terutama berkenaan protokol, mengatur acara orang-orang besar dalam acara agama dan mengenali dari dekat keperibadian mereka berdua – TYT Tun dan Toh Puan.

Sebelum Ramadhan 2006, timbul khabar angin Ust Nahar ketika itu yang baru saja beberapa bulan bertugas di Masjid Negeri bakal dipindahkan pula ke Istana Negeri sebagai pegawai agama Istana.

Beliau ketika itu satu-satunya calon menggantikan Ust Hj Imbran Anggun. Walaubagaimanapun, Ust Nahar meminta senarai calon ditambah kepada seorang dua lagi.

Jadi, dicadangkanlah nama saya dan kawan baik saya, Ust Rahim Yahya Abd Rahman yang ketika itu bertugas sebagai Imam Bahagian di Pedalaman Bawah.

Ketika saya diminta menyediakan resume seberapa segera, saya tidak tahu bahawa tujuannya adalah untuk dipindahkan ke Istana Negeri.

Tanpa banyak soal, saya pun menyediakan resume yang dikehendaki dan menyerahkan kepada JHEAINS tanpa menyertakan gambar seperti yang diarahkan.

Mati-mati saya mengingatkan tujuan resume itu adalah untuk menerima darjah kebesaran. Tapi bila difikir balik, macam tidak logik. Saya masih muda dan baru saja bertugas dalam perkhidmatan awam.

Apabila Pengarah JHEAINS, Tuan Hj Amri menegur saya kerana lambat menyertakan gambar, ketika itu barulah saya tahu tujuan sebenar resume diminta iaitu sebagai pengganti Ust Imbran selaku pegawai agama Istana.

Katanya, TYT Tun akan memilih sendiri melalui resume yang dihantar terus kepadanya.

Oleh kerana ketika itu hati memberontak tidak mahu dan merasa serba salah, saya langsung bergambar dengan memakai kopiah putih. Kononnya, supaya TYT tidak berkenan dengan diri saya.

Tetapi dipendekkan cerita, TYT Tun Ahmadshah tetap memilih saya dengan sokongan Ust Imbran sendiri. Tambahan, Tun sendiri pernah menjadi ma’mum saya beberapa kali di Masjid Negeri dan mendengar bacaan saya.

Itulah point besar beliau memilih saya, walaupun tidak mengenali peribadi saya secara khusus.

Apa yang saya tahu, pegawai-pegawai Istana yang bertugas hampir dengan TYT dan Toh Puan, akan dipilih sendiri oleh mereka atau salah seorang daripada mereka berdua.

KISAH PERTAMA : USRAH

Ketika bulan pertama bertugas, saya langsung mengadap beliau sendirian dan berbincang panjang mengenai projek dan rancangan saya di Istana.

Antaranya, saya mencadangkan program ceramah atau tazkirah bulanan yang akan dihadiri oleh TYT sendiri. Saya ingat lagi kata Tun :

“Aku mau usrah, bukan setakat ceramah. Kalau usrah, ada perbincangan dan soal jawab. Aku nda mau lepas ceramah, makan lepas tu habis begitu saja”.

Begitulah antara pandangannya. Dia mau USRAH.

Sempatlah dalam tempoh bertugas itu diadakan 5 kali program usrah.

Dijemput penceramah undangan kemudian diadakan sesi dialog dan perbincangan serta soal jawab yang TYT Tun turut bergerak aktif.

Di kalangan hadirinnya pula, saya memilih senarai masjid, surau, jabatan dan individu sebelum dikemukakan kepada S/U Sulit dan dibawa kepada TYT sebelum diluluskan.

Biasanya proses itu mengambil masa dan kadang-kadang Tun menambah senarai jemputan, kerana beliau ingin individu tertentu hadir bersama.

Faham-fahamlah, mengadakan usrah bersama TYT tidak semudah sesama kita berusrah, cukup SMS pada hari yang sama, selesai! Dengan TYT, prosesnya kadang-kadang sehingga 2-3 minggu.

Maklumlah memilih tarikh yang sesuai sangat cerewet memandangkan TYT mempunyai acara rasmi yang banyak.

Tetapi yang pasti, senarai jemputan yang saya pilih tidak pernah dibantah atau ditolak.

Di hujung majlis, Tun sendiri yang akan membuat kesimpulannya. 

Beberapa kali beliau menegaskan bahawa mana-mana masjid dan surau yang pernah datang berusrah di Surau Istana, agar melaksanakan program yang sama di tempat masing-masing.

Katanya : “Ustaz Akmal akan pantau. Kalau susah cari ustaz, minta dia cari!”

KISAH KEDUA : DOA KUASA

Awal tahun 2007, pada 1 Januari di Istana Negeri diadakan Istiadat Angkat Sumpah oleh TYT bagi penggal kedua. Saya diamanahkan membaca doa buat kali pertama.

Saya hanya mengarang doa itu pagi tersebut berpandukan doa yang pernah dibaca oleh Ust Imbran sebelum ini dengan sedikit penambahan.

Antara doa yang saya masukkan ialah berkenaan kekuasaan Allah menaik dan menjatuhkan sesiapa saja dari tampuk pemerintahan. Ia adalah ayat al-Quran.

Firman Allah : Katakanlah : “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.

2-3 hari selepas istiadat itu, saya dipanggil bos saya iaitu SU Sulit, Tuan Hj Gapar Madin. Isunya tentang doa itu. Dia kata Tun tanya, doa pasal kuasa tu dapat dari mana?

Tiba-tiba saja jantung saya berdegup laju. Jujur saya kata itu ayat al-Quran. Mampus la aku kena marah pasal doa tu tidak disemak terlebih awal. Ketika itu saya belum mengenali rapat lagi TYT ni.

Kata bos : “Tun suka doa tu. Dia mau, kalau ada istiadat lain, doa tu WAJIB baca. Tun mau orang besar yang hadir dalam tu dengar kuasa tu Allah punya”.

Leganya!!!

KISAH KETIGA : RONDA MASJID

Antara perubahan yang saya lakukan dalam mengatur pergerakan solat Jumaat TYT, saya banyak mencadangkan beliau berjumaat di kampung-kampung, bukan hanya bertumpu di empat masjid -Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang dan Masjid Tg Aru.  

Bahkan masih banyak masjid di kawasan Kota Kinabalu yang beliau belum ziarahi lagi.

Saya katakan kepadanya : “Saya tidak sanggup mendengar apabila Tun sudah tidak di Istana lagi, nanti orang berkata : Nama saja TYT orang KK, masjid kami di KK pun dia nda datang”.

Tun memahami hasrat dan hujjah saya, lalu menerima cadangan itu. Bahkan sampai satu masa dia pernah berkata kepada saya : “Ustaz, kau carikan masjid yang bermasalah, kita pegi..”

Sempatlah saya membawa beliau ke Masjid Kg Warisan, Masjid Kelansanan, Masjid Pekan Telipok, Masjid UiTM, Masjid Politeknik, dan lain-lain yang belum pernah dilawatinya.

Apabila berjumaat di luar daerah, sebaiknya dia tidak mahu masjid yang sudah dikunjunginya dahulu.

Sementara pada awal tahun ini, datang pula idea baru kami bersama untuk bersolat Jumaat di sekolah-sekolah yang ada Jumaat.

Sempatlah pergi 3 sekolah – SMK Kolombong, MRSM dan SMKA Inanam sebelum saya berpindah. Dia juga mendermakan TV ke sekolah-sekolah berkenaan.

Apa lagi, kelam kabutlah Jabatan Pelajaran dibuatnya. Heheh. Tun kata : Pelajar pun rakyat aku juga.

KISAH KEEMPAT : KEBEBASAN IDEA BERKHUTBAH

Satu perkara yang menarik, Tun selalu memberi galakan saya berkarya dengan mengarang sendiri khutbah Jumaat.

Katanya, khutbah JHEAINS biasanya bersifat umum, kadang-kadang tidak sesuai dibaca di sesetengah kampung.

Kebebasan itu saya manfaatkan dengan menajamkan lagi tulisan saya dalam berkhutbah. Sesetengah kampung saya tanyakan dulu isu yang wajar saya bawakan.

Jika di kampung, sudah tentu isunya mudah manakala masjid di bandar atau pekan lebih berat sifatnya, sehingga sesekali teguran saya dalam khutbah itu sedikit keras.

Ada kawan-kawan di kalangan imam sendiri gusar dengan keberanian saya. Kebimbangan mereka akhirnya sampai ke telinga saya.

Saya kemudian merujuk kepada TYT Tun selaku jamaah no 1 saya, bertanya pendapatnya berkenaan khutbah-khutbah saya selama ini.

Di hati saya, jika dia suruh saya slow, saya akan slow. Tapi Tun kata : “Memang khutbah nak mengingatkan orang!”. Ertinya tiada masalahlah dalam khutbah saya.

Bagi saya, kadang-kadang para imam dan khatib ini hanya takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apabila sudah berada di luar Istana kini, sekurang-kurang saya sudah tahu protokol dan baik budi terutama TYT Tun.

Tak dapek la den nak dikelentong lagi. Aku kenal Tun macamana!

Dirgahayu Tun! Semoga diberikan kesihatan dan kekuatan untuk memimpin negeri Sabah berdasarkan petunjuk Allah SWT!

About these ads