Posted by: Abu Nuha on: 6 September 2008
Semalam, Konvensyen Pendakwah Kali Ke-3 Negeri Sabah selamat dilancarkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan.
Majlis semalam yang bermula sekitar jam 9 itu turut dihadiri oleh Ust Hj Abd Aziz Che Yakob, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah dan Ust Sidik Ag Adi, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS, serta beberapa pegawai tinggi kerajaan negeri dan persekutuan.
Jumlah peserta ialah 170 orang dari seluruh Sabah, meliputi pelbagai agensi dan NGO. Antaranya ialah peserta dari JAKIM, JHEAINS, ABIM, Jabatan Pelajaran, JIM, Yayasan Amal, Persatuan Ulama Malaysia, Teratak Fitrah, dan sebagainya.
Sementara itu, Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan dalam ucapan perasmiannya berkata, Pejabat Mufti menyokong penuh program yang dianjurkan dan berharap para peserta dapat menambah ilmu untuk bekalan dakwah.
Katanya, pendakwah yang sebenar bukan semata-mata ceramahnya yang sedap didengar sehingga menimbulkan gelak ketawa audien, tetapi kosong dari ilmu dan hidayah.
Pendakwah yang baik ialah mereka yang boleh menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, jujur serta bergerak aktif dalam masyarakat di mana dia berada.
Selepas rehat semalam, Ust Kamaruddin Kassim dari Pejabat Agama Sungai Petani Kedah membentangkan tayangan gambar gejala sosial di Negeri Kedah khususnya di Sungai Petani serta akiviti praktikal – dakwah lapangan para pelatih sebagai satu lontaran awal kepada para peserta konvensyen kali ini.
Katanya peserta tidak cukup berseminar, berkonvensyen atau hanya di masjid/surau, tetapi mesti turun ke dalam masyarakat terutama berhadapan dengan remaja yang rosak akhlak ini.
Sementara di Dewan Kinabalu berlangsung acara, pihak urusetia sibuk menaip serta membahagi-bahagikan senarai peserta ke dalam kumpulan-kumpulan bengkel untuk slot petang.
Pagi ini sedang berlangsung ceramah Hj Sahlan Saruddin dari Dewan Pemuda Masjid Malaysia.
Ulasan