Posted by: Abu Nuha on: 5 September 2008
Masjid Jamek Putatan
Gambar masjid pada 2 Disember 2006, sebelum dibaik pulih.
Apabila saudara dari arah Kota Kinabalu, tiba di kawasan Pekan Putatan, bertemu dengan simpang Putatan-Ramayah di sebelah kiri, beberapa minit itu akan tiba di Masjid Jamek ini yang terletak di tepi jalan Kg Ulu, Putatan.
Apa yang saya ketahui, masjid ini begitu sentimental kepada umat Islam di kawasan ini kerana mempunyai latar sejarah yang tersendiri.
Sebelum masjid yang ada ini dibangunkan, di tepinya terdapat masjid lama yang kecil sahaja, yang usianya mungkin hampir atau lebih 100 tahun. Wallahu a’lam.
Bangunan yang ada sekarang asalnya kecil juga, tidak sampai muatnya 200 orang.
Tetapi di sayap kiri dan kanan sudah ditambah dan dibesarkan, malahan lebih luas dari kawasan dalam.
Mungkin keseluruhan kapasiti mencapai 500 jamaah.
Awal solat, jamaahnya lebih 200 orang, melimpah hingga ke sayap kiri dan kanan.
Tetapi selepas lapan rakaat, tolaklah separuh.
Bacaan imamnya sederhana, mendayu, seronok mendengar.
Cuma salawat bilal kurang sempurna, banyak lompang di sana-sini.
Maklumlah, orang tua. Tetapi semangatnya itu saya hormati.
Hampir separuh solat, saya baru menyedari kehadiran Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Yahya Hussein, yang juga ADUN Petagas iaitu kawasan ini.
Saya maklum Datuk Yahya sering berziarah ke masjid-masjid di kawasannya ini terutama pada Ramadhan.
Saya juga pernah diberikan jadual pergerakan solat Jumaat beliau di masjid-masjid kawasannya. Bagi saya ini adalah sesuatu yang baik.
Terdapat juga beberapa pegawai tinggi kerajaan bersolat di sini, saya pasti mereka bukan mengiringi Timbalan KM itu, tetapi mereka memang ahli qaryah di sini.
Antaranya Dr Hj Mingu Jumaan, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri dan Datuk Hj Mohd Yaman Hj Ahmad Mus, Pengarah Balai Seni Lukis Negeri dan beberapa pegawai yang lain.
Solat selesai sepenuhnya jam 9 malam. Di hujung corong speaker, tuan imam marah-marah kepada anak-anak yang berlari dan buat bising di dalam masjid, serta tidak menunaikan solat.
“Orang yang solat orang yang baik, orang yang tidak solat itu orang tidak baik”. Geram bunyinya.
Ulasan