Petang semalam, saya berkunjung ke kedai buku Golden Quality di Wisma MUIS mencari-cari buku yang patut dibeli kali ini.Saya akhirnya bertemu dan membeli dua buah buku.

Salah satunya bertajuk INDAHNYA SAAT BERSAMAMU – PANDUAN PRAKTIKAL QIYAMULLAIL yang disusun oleh dua orang – Ust Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani dan Ust Zahazan Mohamed.

Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru dan cetakan pertamanya ialah pada September 2007. Terdapat 5 bab di dalam 164 muka surat iaitu :

Bab 1 : Qiyamullail dan Persoalannya
Bab 2 : Ibadah-Ibadah Dalam Qiyamullail
Bab 3 : Solat Tarawih Dan Kelebihannya
Bab 4 : Doa-doa Mengiringi Qiyamullail
Bab 5 : Penutup – Qiyamullail Dijamin Syurga

Bukannya tidak tahu kelebihan dan cara praktik ibadah qiyamullail ini. Hanya apabila membaca buku seumpama ini, saya memperoleh semangat serta kekuatan untuk beramal.

Saya habiskan membacanya pada pagi dan petang ini, antaranya kisah para ulama dan salafus soleh berqiyamullail, yang apabila membacanya saya merasa kerdilnya diri.

Saya turunkan sedikit catatan di dalam buku ini berkenaan beberapa faktor yang membantu seseorang berqiyamullail.

1. Ikhlas kepada Allah SWT
2. Melahirkan dalam dirinya bahawa Allah SWT menyerunya berqiyamullail
3. Mengetahui kelebihan qiyamullail
4. Melihat sejarah dan kisah salafus soleh berkenaan qiyamullail mereka serta istiqamah dengannya.
5. Tidur mengikut sunnah SAW iaitu di atas lambung kanan
6. Tidur di dalam keadaan suci
7. Tidur awal
8. Beramal dengan zikir-zikir yang disyariatkan sebelum tidur
9. Mengamalkan tidur qailullah pada waktu siang
10. Menjauhi banyak makan dan minum
11. Mujahadah nafsu
12. Menjauhi dosa dan maksiat
13. Menghisab dan mencela diri kerana meninggalkan qiyamullail

Selebihnya, saudara dapatkanlah buku ini di pasaran. Harga Semenanjung cuma RM19.90 manakala harga Sabah & Sarawak ialah RM21.90.

Membaca buku ini membuatkan saya terkenang kisah benar keluarga seorang tok guru yang tidak pernah tinggal qiyamullail.

Kisah ini diceritakan oleh seorang guru al-Quran kepada saya beberapa tahun lalu.

Kisah ini berlaku mungkin 30-40 tahun lalu. Katanya, seorang anak kecil yang berada di sekolah rendah sering tertidur di dalam kelas. Tetapi apabila disoal oleh gurunya, dia mampu dan dapat menjawabnya dengan betul.

Situasi itu mendatangkan kehairanan gurunya. Gurunya bertanya kenapa dia asyik tidur dalam kelas. Katanya, di rumah mereka dilatih oleh ayahnya untuk berqiyamullail.

Gurunya bertanya lagi, berapa kali seminggu? Jawabnya, setiap malam! Terkedu gurunya mendengar jawapan si anak tadi.

Kita bagaimana? Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadi titik perubahan.

About these ads