Archive for Ogos, 2008


Beberapa hari ini saya sempat membaca habis dua buah buku. Salah satu buku tersebut bertajuk BIOGRAFI PENULIS SABAH yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2004. Buku ini milik bapa saya yang juga salah seorang aktivis sastera di Labuan. Bapa saya adalah salah seorang pengasas penubuhan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada tahun 1985.

Buku ini menyimpan 144 biografi para penulis, penyair, seniman dan karyawan di Sabah secara ringkas. Antara nama yang menarik perhatian saya di dalam buku ini ialah biografi Allahyarham Dr Datu Bandira Datu Alang.

Saya yakin, ramai tidak mengenali beliau secara dekat walaupun namanya begitu harum dalam gerakan Islam di Malaysia, khususnya di Sabah. Sebagai satu kenangan dan ingatan kita kepada Allahyarham, saya turunkan petikan  biografi beliau.

******

DATU BANDIRA DATU ALANG dilahirkan pada 3 Januari 1958 di kampung Peladuk, Kota Belud. Selepas itu, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun pada tahun 1965 sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SMK Arshad Kota Belud dan kemudian di SMK Syed Arshad di Arau, Perlis.

Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Datu Bandira berkhidmat sebagai guru dan kemudian sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Selepas itu beliau berkhidmat di Felda Sabah sebagai Pegawai Tadbir dan Pengurus Sumber Manusia di Tawau selama 13 tahun sejak tahun 1984. Kemudian beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah Fish Marketing (SAFMA) sebelum menceburkan diri dalam politik pada 1999.

Datu Bandira telah mendapat ijazah MA dan PHD daripada al-Manaf International di Louisiana State University. Beliau jug pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Sto Nino Collegio, salah sebuah kolej tertua di Filipina.

Ketika bertugas di Tawau, Datu Bandira turut menghidupkan kegiatan kesusateraan dan berjaya menganjurkan Perkampunag Sasterawan (1992) dan Diskusi Tenggara 1 (1989) dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah. Beliau juga seorang penyelidik dan pengkaji bahasa dan sastera. Malah banyak artikelnya mengenai perkembangan bahasa Melayu yang tersiar di dalam akhbar menjadi rujukan berguna untuk mahasiswa hingga ke hari ini.

Datu Bandira juga pernah menghasilkan beberapa buah buku termasuk buku Iranun Sejarah dan Adat Tradisi yang diterbitkan oleh DBP. Peranan Dr. Datu Bandira Datu Alang dalam perkembangan dan gerakan sastera kebahasaan dan kesusasteraan di negeri ini tidak boleh dinafikan.

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang sering diundang untuk menjadi jurubicara golongan sasterawan dan bahasa di negeri ini dengan membentangkan kertas-kertas kerja dalam seminar, forum sama ada di dalam dan luar negara. Datu Bandira pernah membentangkan kertas kerja mengenai bahasa dan sastera Melayu di Sri Langka, Indonesia, Thailand, Filipina dan kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPTA) di negara ini.

Dalam kegiatan kemasyarakatan, Datu Bandira merupakan bekas Presiden Persatuan Bumiptera Iranun Sabah, dan pengurus Persatuan Usahawan Islam Malaysia. Beliau juga merupakan bekas AJK Tertinggi BAHASA dan Yang Dipertua BAHASA Tawau dan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah. Datu Bandira kembali kerahmatullah pada 8 Ogos 2004. Al-Fatihah.

****

Saudara yang berminat merujuk senarai biografi penulis-penulis lain, boleh merujuk kepada DBP Cawangan Sabah di Teluk Likas bersebelahan dengan Wisma Innoprise.

Lebih 24 jam terperap di rumah, anak-anak dan isteri sudah terasa keboringan.

Petang selasa kami meluangkan sedikit masa ke Taman Permainan Pancur Hitam, Kg Pohon Batu kira-kira 3km dari rumah.

Kenapa saya memilih tempat ini, kerana ia terletak hanya di tepi jalan, tidak terlalu ramai pengunjung, dan lebih privacy.

Selain itu, terdapat taman permainan untuk anak-anak bawah 12 tahun, pemandangan cantik di tepi pantai serta beberapa gerai untuk para tetamu menghilangkan dahaga.

Sebelum ini, sudah beberapa kali saya membawa keluarga ke tempat ini.

Anak-anak dengan pengawasan kami, bebas bermain, memanjat anak-anak tangga, kemudian menggelusur, kemudian berlari semula..

Lepas puas satu jenis permainan, mereka pergi ke arah permainan lain pula.

Berhadapan dengan pantai ini, terdapat enam buah gerai makanan dan minuman.

Kawasan gerai ini dibina sejak 8 tahun lalu. 

Ia dibuka pada waktu siang setiap hari mulai jam 8.30 pagi hingga 7 malam sahaja.

Menurut pemerhatian saya, sasaran pelanggannya ialah mereka yang datang membawa anak-anak bermain di sini, dan juga kepada orang ramai yang mandi-manda di pantai ini.

Malahan petang itu terdapat juga pelancong asing bermandi-manda di sini.

Khabarnya, ia salah satu tempat yang menjadi sasaran termasuk pelancong Jepun, Eropah dan Gurkha yang bekerja di Brunei.

Menurut salah seorang peniaga yang saya temui, dahulu sewa gerai ini sebanyak RM120 sebulan, dan kini dikurangkan kepada RM80 sebulan sahaja.

Pelbagai kuih muih, makanan goreng, soto dengan minuman seperti ABC, air kelapa, jagung dan sebagainya boleh didapati.

LALUAN KE SINI

Dengan menaiki kenderaan sendiri, teksi atau bas, tempat ini ternyata sangat mudah ditemui.

Pantai Pancur Hitam terletak kira-kira 16km dari pusat Bandar Labuan.

Melalui jalan Tun Mustapha, tidak perlu belok kiri atau kanan.

Sepanjang perjalanan, saudara akan dibantu dengan tanda arah destinasi yang dikehendaki.

Pandu saja sehingga bertemu dengan sebuah kampung terakhir bernama Pohon Batu.

Tiba di kampung ini, pemandu perlu belok ke arah kiri dan bergerak beberapa minit sebelum tiba di gerai ini yang berada benar-benar di tepi jalan.

Selamat bersantai.

Sukacita, saya mewar-warkan sekaligus mempelawa sahabat yang berkelapangan untuk menyertai program ini yang diadakan pada ketetapan berikut :

Tarikh : 23 & 24 Ogos 2008 (Sabtu-Ahad)

Tempat berkumpul : Masjid Negeri Sabah

Masa berkumpul : 8.00 pagi

Menurut tentatif yang diemelkan kepada saya, konvoi yang berlepas pada jam 8.45 pagi itu terlebih dahulu akan singgah di Surau Kg Kayu Putih, Kota Belud.

Di sana, peserta konvoi AMAL akan mengadakan program ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

Selepas zuhur, peserta konvoi akan meneruskan perjalanan ke Kg Rukom, Pitas.

Program akan dimulakan dengan solat maghrib, ceramah agama, tayangan amal serta konsert kemanusiaan.

Pada hari ke-2, program bermula dengan solat subuh dan tazkirah, manakala sekitar 9 pagi bakal diadakan pemeriksaan kesihatan percuma, tayangan dan pameran kemanusiaan, serta penyampaian sumbangan.

Setelah program di kampung berakhir, peserta akan meneruskan konvoi ke Hospital Pitas dan menziarahi pesakit di sana.

Untuk rekod, Pitas adalah antara daerah termiskin di Malaysia. Ia berada di bawah P167 Parlimen Kudat dan N03 DUN Pitas.

Untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Ust Ridhuan Othman : 019-8502525 atau Ust Md Jumat Abd Razak : 019-5367902.

Insya Allah, peserta program ini tidak rugi dan akan mendapat pahala dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Dari rumah, kami bertolak lambat sedikit, hampir jam 8 pagi.Di sepanjang perjalanan, sukar untuk memintas kenderaan di hadapan kerana lorong sebelah dipenuhi kenderaan berderet untuk masuk ke Kota Kinabalu. Maklumlah hari bekerja. Sesudah melewati Kg Benoni Papar, barulah laluan agak sedikit lengang dan mudah untuk memotong.

Melalui kawasan Membakut, di mana YB Hj Arifin Arif menjadi ADUNnya, saya melihat jam kereta, menunjukkan hampir jam 9 pagi. Mulai sana, pergerakan kembali perlahan. Beberapa kenderaan kampung keluar masuk dan terdapat lori membawa batu yang bergerak perlahan.Selepas melalui jambatan di kampung Kota Klias, Beaufort, laluan hampir lengang.

Dengan jalan lurus, dan saujana mata memandang di kiri dan kanan, pemanduan di laluan ini benar-benar selesa walaupun tetap berhati-hati. Tiba di Menumbok hampir jam 10 pagi, kenderaan lancar bergerak masuk walaupun perlahan. Khabarnya, feri sudah mendarat sejak jam 9.30 pagi. Cuma pergerakan kaunter mengambil pas masuk sedikit perlahan.

Tidak banyak kenderaan penumpang, tetapi lebih separuh lori-lori dan logging yang memenuhkan ruang kenderaan di dalam feri pada perjalanan kali ini. Penumpang juga sederhana ramai, mungkin kerana hari isnin, sudah ramai yang menggunakan khidmatnya pada sabtu dan ahad. Pihak syarikat sudah mengumumkan perjalanan tambahan sempena cuti sekolah dan hari raya akan datang.

Untuk hari raya nanti, pelayaran tambahan Menumbok-Labuan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober pada jam 9 malam, manakala perjalanan Labuan-Menumbok pada jam 7 malam. Feri Wawasan Perdana boleh memuatkan sekitar 80 buah kereta untuk setiap perjalanan.

Apabila kenderaan sudah masuk, saudara boleh memilih untuk terus berada di kenderaan masing-masing, atau naik ke atas dan berada dalam dewan tempat duduk. Boleh juga berjalan-jalan sehingga ke kawasan sutuh feri (atas bumbung) untuk menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Di dalam dewan yang berhawa dingin ini, pihak pengurusan feri menyediakan tidak kurang 400 kerusi tempat duduk sambil menghidangkan filem-filem untuk menghiburkan penumpang.

Terdapat juga 2 bilik VIP Lounge untuk penumpang yang inginkan suasana lebih privacy dan tenang berehat atau menonton tv. Di dewan ini juga terdapat kaunter jualan makanan dan minuman ringan ringan. Kebiasaannya, kedudukan penumpang agak bertaburan. Ada yang selesa berada di kereta, di dalam dewan menonton tv, di kawasan beranda kapal kiri dan kanan atau berada di kawasan sutuh. Bagi saya pula, ketika musim puncak, lebih selesa berada di kereta, makan-makan dan tidur kerana suasana yang terlalu sesak dengan penumpang.

Untuk menikmati pemandangan indah, lebih strategik dan sesuai jika berada di kawasan sutuh kerana lebih bebas dan puas. Bebas untuk bergerak, mengambil gambar ataupun termenung jauh.

Kita dapat menyaksikan pemandangan laut yang membiru, pergerakan kapal-kapal dan bot-bot laju dan sebagainya.Begitu juga pemandangan pantai dan pulau-pulau di sepanjang perjalanan. Dengan suasana angin yang bertiup, suasana dan pemandangan sebegini sangat mengasyikkan. Dalam banyak perjalanan kali saya ke Labuan menaiki feri ini, banyak juga konvoi atau rombongan yang menggunakan perkhidmatan ini. Kami tiba di Labuan tepat jam 12 tengahari, setelah melalui pelayaran dan berada di dalam feri selama satu jam setengah.

Jika saudara berada di tanah besar Sabah dan ingin ke WP Labuan dengan jalan darat, ada beberapa tips yang perlu diikuti terlebih dahulu.

Jika saudara berhasrat menaiki bot laju, saudara tidak perlu terikat dengan masa ketibaan di pekan Menumbok.

Perkhidmatan bot laju disediakan antara Menumbok-Labuan-Menumbok seawal jam 7 pagi hingga jam 5 petang dengan kadar RM15.00, dengan kapasiti penumpang seramai 12-15 orang selama lebih kurang setengah jam perjalanan.

Saudara boleh meninggalkan kenderaan di kawasan-kawasan berdekatan, di  perkarangan rumah penduduk dengan kadar sewa antara RM5 hingga RM10 ringgit sehari.

RM5.00 adalah tempat parking tidak berbumbung, manakala RM10.00 untuk parking berbumbung.

Tetapi jika berhasrat membawa kenderaan ke Labuan, adalah lebih baik saudara membeli tiket  seminggu dua lebih awal terutama jika perjalanan itu pada waktu atau musim puncak, seperti cuti sekolah dan hari perayaan.

Caranya ialah dengan menghubungi pejabat feri wawasan perdana (Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd) di Menumbok 087-831333, atau di Labuan 087-41333, 087-419333 (Fax).

Tanya kekosongan feri pada tarikh yang dikehendaki dan bank-in sejumlah wang ke akaun bank mereka. Saya tiada menyimpan no akaun mereka, dan boleh dihubungi melalui no telefon di atas.

Atau jika saudara punya kenalan atau keluarga di sebelah Menumbok atau Labuan, bolehlah meminta mereka belikan terlebih dahulu tiket berkenaan.

Perlu diingat, pengurusan feri tidak menerima sebarang booking tanpa apa-apa bayaran.

Kadar bayaran untuk sebuah kereta ialah RM40.00 sahaja dan cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga sebanyak RM14.00.

Yang penting, bayaran untuk kereta sebanyak RM40.00 dibayar awal, manakala bayaran cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga boleh dibayar sesudah mendapat boarding pass di Menumbok nanti.

Jika saudara membawa keluarga atau sahabat, bayaran untuk tiket ialah sebanyak RM5.00 seorang. Tidak ada bayaran untuk pemandu kenderaan dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.

Waktu perjalananan dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 4.30 petang, manakala dari Labuan ke Menumbok ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 petang.

Sebaik-baiknya saudara tiba di kawasan terminal Menumbok sejam sebelum perjalananan.

Ertinya jika memilih perjalanan 10.30 pagi, sebaik-baiknya tiba di sana jam 9.30 pagi atau lebih awal untuk urusan mendapatkan pas masuk, bayaran cukai Jabatan Laut dan tiket penumpang.

Tambahan lagi jika pelayaran pada musim puncak, jika saudara tiba lewat, kereta akan beratur panjang dan saudara akan berjalan kaki jauh selama 10-15 minit dengan cuaca panas terik menuju ke kaunter tiket yang penuh dengan ramai orang.

KK-MENUMBOK

Jika dari Kota Kinabalu, perjalanan saudara akan melalui Daerah Putatan, Kinarut, Papar, Kimanis, Bongawan dan Membakut.

Perjalanan KK-Membakut memakan masa tidak kurang sejam, manakala kira-kira 15 minit dari Membakut, sebelum tiba di Pekan Beaufort, saudara akan bertemu dengan simpang kanan by pass yang agak baru sebelum bertemu lagi satu simpang tiga.

Dari sana saudara akan belok kanan lagi dan memandu selama 20-25 minit sebelum tiba di simpang tiga. Kanan ke arah Pekan Kuala Penyu dan ke kiri ke arah Menumbok.

Perjalanan ke Menumbok dari sini mengambil masa juga antara 20-25 minit sebelum tiba di bulatan pekan Menumbok.

Laluan untuk ke feri Menumbok-Labuan berada di kiri saudara.

Selamat jalan dan selamat berkunjung ke WP Labuan, Pulau Mutiara Laut China Selatan.

MULA BERCUTI

Sempena cuti sekolah mulai hari ini, saya turut bercuti selama seminggu dan sebentar lagi akan mula bertolak ke Labuan sekitar jam 7.30 pagi ini.

Perjalanan ke Menumbok, Kuala Penyu memakan masa sekitar 2 jam dan feri yang membawa kereta akan belayar ke seberang pulau selama satu setengah jam, jika menurut jadualnya pada jam 10.30 pagi.

Insya Allah, dari Labuan saya akan terus menulis dan up-date blog Abu Nuha Corner ini.

Ketika mata rakyat Malaysia tertumpu di depan TV, menonton penuh harapan Lee Chong Wei bertarung di gelanggang, saya pula bersama isteri, dan dua anak meluangkan masa menziarahi sahabat yang baru bergelar ayah dan ibu muda, Encik Ahmad Tariq dan Puan Hawwa.

Memikirkan ziarah lagi penting berbanding teriak-teriak di hadapan TV menyokong Lee Chong Wei, saya gagahkan juga diri. Tapi itu bukan bermakna saya tidak harapkan negara mencipta sejarah emas.

Saya yakin benar Chong Wei dia tidak dengar pun jeritan saya di rumah. Dia pula bermain di Beijing, bukannya bermain badminton di depan laman rumah, saya tinggalkan tv ketika pertarungan baru bermula. Chong Wei bukan tau pun.

Pun begitu saya berharap ada ulasan selari di radio, tapi tiada supaya saya boleh menjerit di kereta. Hehehe.

Alhamdulillah, sebagai seorang umat baginda, syukur tidak terhingga, dengan  bertambahnya  seorang lagi ummat Nabi Muhammad SAW.

Puan Hawwa selamat melahirkan puteri comel seberat 2.9kg di Klinik Specialist Damai petang jumaat lalu.

Ketika tiba sekitar 9.30 malam ini, pasangan muda romantik ini ditemani oleh kedua-dua mertua Tariq yang tiba dari Johor, melihat cucu kesayangan di bumi Sabah.

Saya melihat beberapa gelagat sahabat dan kenalan apabila kita bercerita soal penglibatan mereka dalam harakah Islamiyyah ini dan kaitannya dengan alam rumahtangga.

Bukan tujuan membuka aib, tetapi sebagai pengajaran buat diri saya sendiri, sedangkan hakikatnya kita tidak tahu penghujung perjuangan diri kita sendiri.

Ada yang bersemangat dengan aktiviti sana-sini berapi-api dengan darah muda ketika zaman kampus, tetapi layu dan kecut apabila sudah berada di alam kerjaya. Terikat dengan akujanji, peraturan perintah am dan sebagainya.

Ada pula yang gagah berjuang ke sana ke mari ketika masih bujang, tetapi apabila masuk gerbang perkahwinan, batang hidung sudah tidak kelihatan lagi. Isteri takut tinggal seorang.

Dulu, program berhari-hari tiada masalah, sekarang surau di sebelah pun tidak disinggah.

Ada yang ketika masih berdua, belum punya anak, boleh tahan lagi. Muncul juga dalam program jamaah. Lahir anak seorang demi seorang, akhirnya tidak kelihatan lagi.

Inilah yang kita selalu sebut ‘al-mutasaqitun’ atau – orang-orang yang gugur – di tengah jalan dakwah. Atau juga dengan istilah ‘futur’.

Oleh itu Islam mengajar kita sikap istiqamah yang sememangnya mudah disebut tetapi payah melaksanakannya. Termasuklah saya.

Saya harap Tariq tidak begitu, dan saya tidak fikir pun dia begitu. Semoga isteri dan anak yang menjadi penyejuk hati dan matanya tambah meneguhkan dirinya dalam berjuang.

Sedang-sedang menulis ini, di hadapan saya tv Astro Prima filem Musang Berjanggut, menonton sebabak dialognya : Puspa Wangi punya pasal, kicap pun kicaplah!.

Biarlah anak dan isteri itu menjadi jambatan kita ke syurga. Itulah impian saya, dan kita semua.

Kepada Tariq dan Hawwa semoga menjadi ibu bapa mithali. Sebelum masuk Ramadhan 2 minggu lagi, Tariq sudah pun berpuasa… besar pahalanya. Orang lain puasa sebulan, dia puasa dua bulan.

(Sementara ada beberapa hari sebelum seminggu ini, tolong bisik-bisik, atau sms dengan Tariq nama puteri sulung mereka. Mana tau cadangan diterima).

Kadang-kadang keadaan orang sakit boleh jadi gurauan. Mujur Che’gu Jamil tidak melenting dengan gurauan kami. Che’gu Jamil orang baik.

Petang tadi sekitar jam 5, saya mengajak Cikgu Hashim menziarahi Che’gu Jamil di rumahnya.

Che’gu Jamil masih lagi sakit mata, dan mata sebelah kanannya itu masih lagi bertampal walaupun doktor yang memeriksa mengatakan perkembangannya sangat positif.

Luka yang lebar sebelum ini sudah semakin mengecil. Demikian khabar doktor yang jelas menggembirakan kami semua.

Sakit-sakit begitu, kami sempat berbincang bermacam perkara dalam tempoh sejam di sana.

Isu jualan buku Hj Nicholas & Ust Abdullah Din yang mendapat sambutan, Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah pada Ramadhan nanti, program ziarah hospital juga Ramadhan, tidak lupa juga situasi adik Syafiqa yang kami bimbangkan.

Rupanya sebelum kehadiran kami itu, isteri Che’gu Jamil sempat menyediakan mee sup

Kebetulan saya  tidak sempat makan tengahari,  sementara Cikgu Hashim pula  menanti waktu berbuka. Rezeki, rezeki.

Teringat ketika kami mula-mula sampai tadi, Cikgu Hashim melihat muka Che’gu Jamil.

Katanya tak ubah seperti Jamil lakonan P.Ramlee dalam filem Madu Tiga. Ingat lagi babak mata Jamil yang bertampal, sekejap mata kanan, sekejap mata kiri.

Cuma Che’gu Jamil masih beristeri seorang, sementara Jamil P.Ramlee itu beristeri tiga. hehehe..

Jamiilll!! Ooh Jamiill..!!! Jerit isteri tua.

Hujung minggu sebegini, ramai kalangan kita menerima jemputan perkahwinan. Begitu juga saya semalam menerima satu jemputan di Dewan Kinabalu, Tabung Haji. 

Manakala hari ini ada satu jemputan lagi di Kg Rugading Tuaran. Perkahwinan anak perempuan C/Insp Abdul Lamat Hj Taman, Ketua Pegawai Keselamatan (CSO) Istana Negeri.

Tuan Lamat adalah teman sebilik, teman sepejabat dan teman sembang ketika bertugas di Istana Negeri dulu. Saya mula bertugas pada 6 Nov 2006, manakala Tuan Lamat masuk seminggu kemudian.

Walaubagaimanapun, saya berhalangan ke sana dan hanya berkirim salam dan berkirim sedikit ‘sampul berisi’ melalui Juruiring (ADC) TYT, DSP Hj Abd Latif Hj Ibrahim yang singgah ke rumah sekejap tadi.

Semoga semuanya selamat dan berbahagia dengan pasangan dan keluarga baru masing-masing.

Bercerita soal majlis pernikahan, kadang-kadang saya terkenang, apabila menyaksikan khutbah nikah disampaikan, saya lihat ia kebanyakannya kurang berkesan.

Maksud saya, isi khutbah, cara penyampaian dan sikap hadirin. Penyampaiannya tidak bersungguh, asal baca, tidak menyentuh perasaan dan hati pendengar, kadang-kadang isi tidak mantap dan sebagainya.

Ada juga saya memerhatikan jurunikah seperti tidak bersedia, dan masih tidak lancar dengan teks mereka walaupun mereka hampir setiap minggu menyampaikan teks yang sama.

Manakala hadirin tidak memberikan tumpuan kepada khutbah yang disampaikan, bersembang, ketawa-ketawa. Dibimbangi hilang keberkatan dalam majlis yang begitu baik.

Yang didapur sibuk dengan hidangannya, manakala pengantinnya berdebar menghafal akad nikah sebentar lagi. Akhirnya, tuan imam pun asal baca saja.

Menurut tafsir al-Azhar tulisan Allahyarham Pak HAMKA, melalui ayat 6-7 surah al-Baqarah, ada dua punca orang kafir menolak Islam berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pertamanya, mereka beranggapan jika mereka memeluk Islam, segala kelebihan, pangkat jawatan, kedudukan dan semua kepentingan mereka akan terjejas.

Mana tidaknya, bagi yang berjawatan, Islam mengajar semua penganutnya adalah sama melainkan dengan taqwa. Tiada kelebihan antara pemimpin dan rakyat.

Bagi yang berniaga ketika itu, Islam melarang riba, penindasan, jual beli patung dan sebagainya. Sudah tentu peraturan itu menggugat masa depan perniagaan mereka.

Keduanya, kekafiran mereka kerana dengkinya mereka kepada Nabi Muhammad SAW, terutama kepada Bani Israil yang mempertikaikan kenapa nabi terakhir itu datang dari bangsa Arab? Bukan dari bangsa mereka?

Siapa kita untuk mempertikaikan keputusan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Begitulah yang berlaku sepanjang zaman, penolakan terhadap Islam akan berlaku dan mereka merasa tersiksa dengan Islam yang berkembang, tidak dapat disekat kemaraannya.

Oleh itu, jangan kita menjadi orang Islam yang hanya rajin membaca al-Quran, tetapi menolak ajaran al-Quran; atau menerima sebahagian dan menolak sebahagian, mengikut kepentingan dan kepala otak sendiri.

Kuliah Tafsir di Surau Petronas 8 Ogos 2008

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 75 other followers

%d bloggers like this: