Sekitar jam 10 pagi, saya ke tingkat 2 yang menempatkan pejabat Takaful Malaysia,  mengurus insuran kereta Kelisa yang sudah tersadai sebulan di rumah kerana cukai jalan sudah tamat.

Ada beberapa salah faham maklumat yang menyebabkan saya menangguhkan urusan bayaran takaful.

Awal Ogos tahun lalu, kereta kelisa saya mendapat kemalangan di bulatan Kopungit.

Kereta itu dipandu oleh Mahmud, sahabat yang selalu menemani saya ke masjid dan ke surau untuk menyampaikan kuliah.

Ketika itu, saya berada di Tawau, mengiringi TYT Tun Ahmadshah, merasmikan sebuah masjid di sana. Semua urusan laporan polis, bayaran saman dan lain-lain diurus oleh Mahmud.

Pertembungan antara kelisa dan kancil. Pendek cerita kelisa salah dan kancil ‘terbaring’ di tepi jalan.

Beberapa sahabat seperti Hj Rahimin yang melalui jalan tersebut, perasan kereta kelisa saya baru kemalangan. Tuan haji menyangka saya di sana, sedangkan saya di Tawau.

Hj Rahimin segera melaporkan kejadian dengan  SMS kepada sahabat-sahabat perihal kejadian yang mengejutkan itu.

SMS itu hanya menjelaskan kereta saya kemalangan tetapi semua selamat. Saya tidak putus-putus menerima SMS dan telefon sahabat. Ramai! Letih saya menjawabnya.

Itu ceritanya.

Jadi, awal bulan Julai lalu, apabila cukai jalan kelisa saya sudah tamat tempoh, saya ke Bank Islam Automobil di Bangunan UMNO, menyerahkan RM30.00 untuk urusan cukai jalan.

Kemudian ke Takaful Malaysia untuk urusan insuran.

Ada salah faham antara saya dan pegawai di sana. Maklumat yang saya diberitahu, bayaran takaful saya kali ini tinggi kerana pernah kemalangan dalam tempoh setahun. Itu okey.

Tetapi saya tersalah faham, atau dia salah beri maklumat, jika eksiden itu sudah berlalu setahun, bayaran takaful akan kembali normal kepada sekitar RM500 ++.

Jadi saya mengambil keputusan menangguhkan urusan takaful sehingga genap setahun dari tempoh kejadian kemalangan iaitu pertengahan Ogos ini.

Tetapi apabila saya hadir semula pagi ini, rupanya maklumat yang saya pegang selama ini salah. Entah saya yang khayal atau tuli masa itu, atau dia yang mamai memberi maklumat yang salah.

Bagaimanapun, itu sudah berlalu. Saya terpaksa bayar RM719 semuanya. Mujur ada duit lebih, senang la bayar. Kalau kering tadi, mau memanas juga.

Lagipun layanan mereka sangat mesra. Bersembang bagai sahabat lama. Jadi suasana itu memadam kegeraman saya. Terima kasih Takaful Malaysia.

Lewat petang kelisa saya sudah punya cukai jalan kembali.

Pejabat Takaful Malaysia di Kota Kinabalu : Tingkat 2, blok A, Wisma MUIS, Sembulan Kota Kinabalu.

About these ads