Posted by: Abu Nuha on: 17 Ogos 2008
Hujung minggu sebegini, ramai kalangan kita menerima jemputan perkahwinan. Begitu juga saya semalam menerima satu jemputan di Dewan Kinabalu, Tabung Haji.
Manakala hari ini ada satu jemputan lagi di Kg Rugading Tuaran. Perkahwinan anak perempuan C/Insp Abdul Lamat Hj Taman, Ketua Pegawai Keselamatan (CSO) Istana Negeri.
Tuan Lamat adalah teman sebilik, teman sepejabat dan teman sembang ketika bertugas di Istana Negeri dulu. Saya mula bertugas pada 6 Nov 2006, manakala Tuan Lamat masuk seminggu kemudian.
Walaubagaimanapun, saya berhalangan ke sana dan hanya berkirim salam dan berkirim sedikit ’sampul berisi’ melalui Juruiring (ADC) TYT, DSP Hj Abd Latif Hj Ibrahim yang singgah ke rumah sekejap tadi.
Semoga semuanya selamat dan berbahagia dengan pasangan dan keluarga baru masing-masing.
Bercerita soal majlis pernikahan, kadang-kadang saya terkenang, apabila menyaksikan khutbah nikah disampaikan, saya lihat ia kebanyakannya kurang berkesan.
Maksud saya, isi khutbah, cara penyampaian dan sikap hadirin. Penyampaiannya tidak bersungguh, asal baca, tidak menyentuh perasaan dan hati pendengar, kadang-kadang isi tidak mantap dan sebagainya.
Ada juga saya memerhatikan jurunikah seperti tidak bersedia, dan masih tidak lancar dengan teks mereka walaupun mereka hampir setiap minggu menyampaikan teks yang sama.
Manakala hadirin tidak memberikan tumpuan kepada khutbah yang disampaikan, bersembang, ketawa-ketawa. Dibimbangi hilang keberkatan dalam majlis yang begitu baik.
Yang didapur sibuk dengan hidangannya, manakala pengantinnya berdebar menghafal akad nikah sebentar lagi. Akhirnya, tuan imam pun asal baca saja.
Ulasan