Kira-kira sebulan dari sekarang, dengan izin Allah kita akan menyambut bulan Ramadhan. Dalam tempoh persediaan ini, selain sesetengah kita mula memanaskan badan dengan puasa sunat, saya kira masa ini juga kita hendaklah mengingatkan anak isteri kita agar mengqadha puasa Ramadhan lalu yang masih belum diganti.

Saya catatkan berkenaan qadha dan fidyah Ramadhan.

1. Musafir dan orang sakit

Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana sakit atau musafir, dia wajib mengqadha’nya sebelum datang Ramadhan berikutnya.

Sekiranya dia tidak menggantinya disebabkan kerana memandang ringan sehingga masuk Ramadhan berikutnya, dia berdosa dan diwajibkan qadha dan fidyah.

Fidyah ialah memberi makan kepada orang miskin dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan. Kadar ini bertambah dengan bertambahnya tahun. Satu cupak bersamaan lebih kurang 600 gram.

Sekiranya keuzuran berterusan sehingga masuk Ramadhan berikutnya, dia tidak perlu mengeluarkan fidyah tetapi hanya perlu mengqadha puasa sahaja.

Sekiranya dia meninggal dunia sebelum mampu mengqadhanya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqadha’ bagi pihaknya kerana dia tidak melalaikannya.

Sesiapa yang mati selepas mampu mengqadha’kannya tetapi tidak menggadha’nya kerana lalai, maka walinya disunnatkan mengqadha’ hari-hari yang ditinggalkannya bagi pihaknya.

2. Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh

Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh hukumnya sama dengan hukum orang yang terlalu tua yang tidak mampu berpuasa. Dia dibenarkan untuk berbuka dan bersedekah pada setiap hari yang ditinggalkan dengan satu cupak makanan asasi.

3. Ibu hamil dan menyusukan anak

Apabila wanita hamil dan yang menyusukan anak berbuka, maka tindakannya itu sama ada kerana bimbangkan dirinya atau bimbangkan anaknya.

Sekiranya dia berbuka kerana bimbangkan wujudnya mudharat terhadap dirinya apabila dia berpuasa, maka dia wajib qadha sahaja sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Apabila wanita mengandung berbuka kerana bimbangkan anaknya seperti bimbang berlakunya keguguran sekiranya dia berpuasa, ataupun wanita yang menyusukan anak bimbangkan kekurangan air susunya, lalu anak itu mendapat mudharat sekiranya dia berpuasa, dalam keadaan ini dia wajib qadha’ dan bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Masalah yang sama dengan masalah ini ialah orang yang terpaksa berbuka puasa untuk menyelamatkan orang lain yang sedang diancam kemusnahan. Dia wajib mengqadha’ puasanya dan bersedekah dengan satu cupak makanan.

Rujukan : Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 2. Menghuraikan Bab Zakat, Puasa dan Haji.

About these ads