Posted by: Abu Nuha on: 20 Julai 2008
Masyarakat Yahudi adalah sebahagian dari umat Nabi Muhammad SAW, tambahan lagi ketika baginda berhijrah ke Madinah, Yahudi adalah satu komponen masyarakat di sana.
Justeru, banyak ayat-ayat al-Quran menceritakan tentang nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada Yahudi @ Bani Israil terdahulu supaya masyarakat Yahudi @ Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad mengenang nikmat itu dengan beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran yang dibawa baginda.
Antara nikmat itu ialah Allah telah menyelamatkan Bani Israil dari kekejaman Firaun. Allah SWT membelahkan laut untuk mereka sehingga mereka berjaya menyeberang dengan selamat, manakala Firaun bersama-sama tenteranya pula mati tenggelam.
Lalu Allah SWT memerintahkan Nabi Musa untuk bermunajat di Gunung Sinai selama 40 malam, menerima wahyu @ Taurat daripadaNya. Nabi Musa diberikan petunjuk dan ilmu kepimpinan oleh Allah SWT.
Dalam ayat-ayat ini, para ulama’ menafsirkan bahawa Allah mengajar kita, kemerdekaan mesti diisi dengan petunjuk Allah. Bani Israil dimerdekakan daripada kezaliman Firaun, justeru pengisian selepas kemerdekaan mesti menurut perintah Allah yang telah menyelamatkan mereka. Tidak ada ertinya kemerdekaan kalau ia diisi dengan program-program mungkar.
Sekitar sebulan akan datang, negara kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-51. Nanti akan banyaklah program-program mengarut lagi mungkar dianjurkan sempena memperingati kemerdekaan negara. Syariat Allah dipermain dan ditinggalkan begitu sahaja.
Saya dan mungkin saudara pernah mendengar pemimpin kita bercakap bahawa, negara kita diperintah oleh para pemimpin dengan acuan sendiri. Saya ulangi, DENGAN ACUAN SENDIRI. Sebab itulah kemungkaran, musibah, jenayah banyak berleluasa dalam masyarakat, kerana cara penyelesaian menurut acuan sendiri, bukannya acuan agama.
Firman Allah : “Acuan Allah, siapakah yang lebih baik acuannya selain daripada acuan (agama) Allah? Sedangkan kepadaNya kita beribadah”.
Ulasan