MTQ Kebangsaan 2008 telah pun selesai malam sabtu lalu. Sebagaimana kita maklum kedua-dua qari dan qariah Perak menjadi johan dan mewakili negara ke peringkat antarabangsa bulan depan.

Menurut rekod, Sabah menyertai MTQ kebangsaan sejak 1967 lagi, iaitu sudah 41 tahun. Dalam tempoh itu, hanya sekali qariah Sabah iaitu Allahyarham Puan Maliah Muda dari Kerukan Kuala Penyu pernah mendapat tempat ke-3 pada 1984.

Sebelum dan selepas itu tidak pernah dan tidak ada lagi.

Pada hujung 70an, kerajaan negeri pernah menganjurkan kelas tarannum al-Quran yang dibimbing oleh bekas johan qari antarabangsa dari Pulau Pinang, Allahyarham Hj Saidin Osman.

Mungkin kejayaan Puan Maliah hasil latihan insentif berterusan dan setiap hari ketika itu. Saya dimaklumkan kelas itu berjalan di sebuah bangunan, yang kini adalah bangunan asrama putera Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah Sembulan setiap hari selama 3 tahun.

Selepas Puan Maliah menang di peringkat negeri 1984 (beliau pernah menang beberapa kali sebelum itu), beliau mendapat tempat ke-3 di peringkat kebangsaan. Pada 1985, beliau sekali lagi menjadi johan di peringkat negeri. Sebelum sempat ‘beraksi’ di peringkat kebangsaan, ketika itulah beliau jatuh sakit dan meninggal dunia.

Selepas itu, tiada lagi qariah atau qari yang menonjol di peringkat kebangsaan. Johan-johan MTQ negeri untuk ke MTQ kebangsaan hanya berlatih sendiri atau berguru sekejap selama beberapa hari dengan hakim-hakim MTQ negeri sebelum berangkat ke MTQ Kebangsaan.

Pada 2005, ketika JHEAINS di bawah pimpinan Datuk Pg Nohin Pg Abd Rauf, program tahsin al-Quran dihidupkan kembali. Ia khusus untuk melatih qari dan qariah negeri yang berpotensi diangkat ke peringkat lebih tinggi. Guru pertama program ini ialah Tuan Hj Hassan Che Musa, berasal dari Kelantan. Beliau adalah johan MTQ antarabangsa 1964.

Kalau tidak silap saya, Hj Hassan hadir beberapa bulan sebelum MTQ kebangsaan di Kuala Terengganu dan sempat melatih Tuan Hj Madli Mansur, johan qari negeri ketika itu. Ulasan Hj Hassan selepas Hj Madli mempersembahkan bacaan ialah, beliau merasa kagum dengan Hj Madli kerana beliau pada pengamatannya langsung tidak gugup walaupun itu adalah penyertaan pertamanya.

Selepas itu, jurulatih ditambah seorang lagi iaitu Tuan Hj Daud Che Man, seorang bekas qari antarabangsa tahun 90an berasal dari Kelantan juga tetapi menetap di Terengganu. Tuan Hj Hassan dan Tuan Hj Daud, menjelajah ke setiap bahagian di Sabah mengikut jadual yang ditetapkan, melatih qari-qariah tanpa bosan dan jemu.

Maklumat yang diketahui, pada 2006, wakil Sabah ketika itu Hj Abdullah Wahid dari Semporna Tawau mendapat tempat ke-4, manakala tahun 2007 Hj Abdullah mendapat tempat ke-7 di MTQ Kebangsaan. Bagi saya tempat ke-7 masih sangat baik kerana beliau meninggalkan separuh lagi peserta yang seramai 14 orang kesemuanya.

Siri MTQ baru lepas, Hj Abdullah sekali lagi mewakili Sabah, tetapi kali ini beliau mengharumkan Sabah apabila mendapat tempat ke-3 dengan markah 79% kurang 0.33 berbanding Azraie yang mewakili Melaka mendapat 79.33%. Manakala johan mendapat 81%. Sebenarnya, Sabah tidaklah koman mana…

Manakala qariah pula, kak Hjh Hadijah menurut maklumat tidak rasmi mendapat tempat ke-4. Itu kata Jurulatih Sabah, Tuan Hj Abd Rahim Ahmad bekas johan qari antarabangsa 1994, menurut laporan Ust Rahim, pengiring qari ke Kedah baru lalu.

Bagi saya ini tahun memberansangkan bagi Sabah dalam sejarah MTQ.

Dalam mana-mana program musabaqah agama di peringkat kebangsaan, Sabah selalu cemerlang dalam nasyid dan kini mula meningkat naik dalam MTQ. Jangan lupa, dalam MTQ Saudara Baru dua tahun lepas, wakil Sabah dari Kota Marudu telah mendapat johan kebangsaan.  Ini satu perkembangan yang menarik dalam konteks dakwah negeri Sabah.

Yang masih tertinggal ialah program Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan. Saya sangat berharap pihak JHEAINS tidak lupa ini dan sesuatu perlu dilakukan!

Firman Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang membaca al-Quran, mendirikan solat serta membelanjakan rezeki yang Kami kurniakan baik secara rahsia atau terang-terangan, mereka mengharap perniagaan yang tidak kerugian. Supaya disempurnakan ganjaran untuk mereka, dan ditambah lagi dari kurnia pemberianNya, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penerima Syukur”

 

About these ads