Selepas kejadian teks khutbah saya minggu lepas yang mengundang ‘murka’ pemimpin tertentu, saya cuba melupakan ‘hukuman’ yang menimpa saya.

Sebenarnya, ramai jamaah masjid sama ada kalangan ustaz atau orang awam memuji ketegasan teks berkenaan. Kawan-kawan menyatakan respon tersebut setelah mereka menjadi jamaah – mendengar atau menjadi khatib di beberapa masjid.

Antaranya respon dari Masjid asy-Syakirin Kudat, Masjid Pekan Kota Belud, Masjid Pekan Bongawan, Masjid  Pekan Kinarut, Masjid Kg Kawang, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang, Masjid Jamek Kg Likas termasuk ramai jamaah Masjid Negeri.

Setelah seminggu, ia hampir reda. Tiba-tiba selepas jumaat lepas, ramai sahabat-sahabat menghubungi melalui telefon dan sms menyuruh membuka TV1 atau radio IKIM mendengar siaran langsung khutbah Jumaat dari Masjid Negara. Mereka yang mengetahui saya ‘dizalimi’ mengatakan, teks JAKIM hari ini kalau kira lebih ‘dahsyat’ berbanding teks JHEAINS minggu lepas. Jadi mereka kata sebenarnya tidak ada masalah menyebut perkataan zalim dan liwat di dalam khutbah.

Saya turunkan satu sms dari seorang pegawai kanan yang berkelulusan undang-undang syariah ketika menonton siaran langsung khutbah Masjid Negara di TV1. Katanya :

Syeikh. Siaran langsung khutbah dari kl hari ini mengenai fitnah tuduhan zina n liwat. anta lebih advance :).”

Saya hanya membalas dengan mengatakan bahawa kebenaran itu dar Allah SWT. Bagi saya teks JAKIM minggu ini, adalah antara yang terbaik yang pernah saya dengar. Saya muat turunkan teks khutbah JAKIM dari alamat http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/ untuk tatapan saudara pembaca :

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“BUDAYA MEMFITNAH MENGUNDANG BALA’ BENCANA”

( 11 Julai 2008 / 8 Rejab 1429H )

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperoleh taufik dan hidayah menjadi insan soleh yang boleh menjadi  teladan terbaik kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah “ BUDAYA MEMFITNAH MENGUNDANG BALA’ BENCANA ” .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada masa ini muncul pelbagai isu panas dalam negara kita yang nyata telah menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini. Antara isu panas itu ialah tuduh-menuduh mengenai perzinaan, pembunuhan, liwat, rasuah dan pelbagai perkara yang mengaibkan. Isu-isu ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan belum diputuskan oleh mahkamah. Apa yang nyata isu-isu ini telah merosakkan imej orang Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini. Mimbar yang mulia ini bimbang pihak-pihak berkaitan akan menyebarkan pelbagai fitnah yang mengaibkan dalam usaha mempertahankan diri dan hak masing-masing.

Sehubungan itu kita perlu memberi peluang kepada pihak berkuasa menegakkan kedaulatan undang-undang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesional lagi adil.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan umat Islam bahawa kita perlu menjauhi perbuatan memfitnah. Fitnah bererti menyebarkan berita palsu atau cerita yang tidak benar tentang sesuatu hal atau orang lain baik secara diam-diam atau pun secara terbuka. Berdasarkan pemerhatian, fitnah ini bukan sahaja berlaku dalam politik tetapi berlaku juga dalam rumah tangga, pejabat dan sebagainya. Ia berlaku kerana dengki, munafik, mengadu domba dan memutar belitkan fakta yang membawa kesan buruk, aib dan hina yang berpanjangan  kepada seseorang. Apatah lagi jika mangsa fitnah itu adalah orang yang beriman dan bukan kaki maksiat.

Ketika mengulas lanjut kekejaman fitnah ini Huzaifah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

Mafhumnya : Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah

Hakikatnya perbuatan fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh kerana menimbulkan kesengsaraan kepada pemfitnah dan orang yang difitnah, menimbulkam keresahan di kalangan masyarakat, memecahbelahkan perpaduan umat, menyekat pencapaian kerjaya dan tergolong sebagai ahli neraka.

Berdasarkan peristiwa sejarah, isu fitnah yang mengaitkan wanita dan seks paling lumrah berlaku bertujuan untuk menjatuhkan dan mengaibkan maruah seseorang. Nabi Yusuf Alaihissalam pernah difitnah oleh Zulakiha isteri kepada Gabenor Mesir ketika itu kerana cuba menggodanya. Kesan daripada itu, baginda disumbat ke dalam penjara. Begitu juga, Ummul mukminin Saidatina Aishah RHA isteri Rasulullah SAW sendiri yang pernah difitnah oleh Abdullan bin Ubai kononnya berzina dengan Safwan bin Mu’tal. Namun begitu, serangan fitnah yang sengaja dibuat-buat bagi memalukan orang-orang saleh ini adalah ternyata tidak benar.

Dalam usaha menghukum orang yang terlibat dalam aktiviti memfitnah Islam memperuntukkan undang-undang yang tegas. Dalam fitnah kes liwat atau zina misalnya, Islam memperuntukkan hukum qazaf iaitu dikenakan 80 kali sebatan dikhalayak ramai. Hukum qazaf dikenakan jika penuduh-penuduh perbuatan keji itu gagal mengemukakan empat orang saksi yang adil iaitu tidak fasik. Pada prinsipnya hukuman di dalam Islam adalah untuk menegakkan keadilan, mendidik manusia dan bukan menghukum dengan sewenang-wenangnya.

Justeru itu mimbar mengingatkan semua umat Islam di negara ini, jangan begitu mudah memfitnah orang lain sekiranya kita tidak mahu dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini amat bimbang dengan berleluasanya perbuatan dosa besar di kalangan pemimpin dan rakyat akan mengundang bala bencana di negara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 25:

Maksudnya: ” Dan jagalah diri kamu daripada memfitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT tidak akan hanya menurunkan azab sengsara kepada pembuat dosa atau penzalim sahaja, akan tetapi mereka yang tahu tetapi berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa tindakan untuk mencegah atau menghalang juga bakal menerima azab tersebut.

Menurut beberapa Ulama’ terkenal mereka yang melakukan fitnah ini selalunya mata hati mereka telah buta kerana dipenuhi dosa. Keadaan ini menyebabkan pemfitnah mengamalkan apa sahaja cara yang salah dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya. Hakikatnya mereka yang mengamalkan fitnah ini kelihatan beragama Islam tetapi sebenarnya perbuatan mereka seperti orang yang tiada agama, atau tiada kualiti modal insan soleh yang amat diharapkan oleh Islam dan umatnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan kemurkaan Allah SWT, maka mimbar yang mulia ini menasihatkan bahawa kita hendaklah berwaspada dengan persekitaran tingkahlaku manusia yang pelbagai ragam ini agar tidak terjerumus dengan akhlak iblis dan syaitan yang merugikan bangsa, negara dan diri kita sendiri, maka marilah kita mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Mengakhiri khutbah hari ini, demi mencapai keselamatan dunia dan akhirat, Islam menghendaki umatnya berkhidmat dengan cemerlang, amanah, berintegriti, berlaku adil dan bersih daripada pengkhianatan dan penyelewengan. Oleh itu, unsur-unsur khianat, mengaibkan orang, menyalahguna kuasa dan sebagainya adalah tanda manusia yang zalim, tidak berperi kemanusiaan dan terlibat dengan dosa besar serta akan dihumbankan ke dalam api neraka. Dalam usaha mengekalkan kita sebagai insan soleh dan bebas daripada dosa besar dan kecil, maka kita digalakkan bersegera bertaubat. Allahu akbar!

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

 

Maksudnya : Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.”

About these ads