Posted by: Abu Nuha on: 10 Julai 2008
Tengahari tadi saya menyampaikan kuliah tafsir di sebuah pejabat. Menyambung surah al-Baqarah yang sudah masuk ayat ke-40. Mulai ayat ini, Allah menceritakan perihal Bani Israil atau anak cucu keturunan Nabi Ya’qub.
Walaupun kisah-kisah berikutnya berkenaan Bani Israil, terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam. Kaedahnya ialah : “Mengambil ibrah @ teladan dengan lafaz ayat yang umum, bukan dengan sebab penurunannya yang khusus”
Antaranya ayat berkenaan tentang sikap orang Yahudi yang dimurkai oleh Allah SWT :
“Adakah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan, tapi kamu lupa diri kamu sendiri, sedangkan kamu baca kitab, apakah kamu tidak berakal?”
Ramai di kalangan kita menghabiskan masa bercakap, mengarah, menyuruh, melarang dan sebagainya, sedang dalam masa yang sama lupa diri.
Saya teringat ketika masih belajar, kami menunaikan fardhu haji pada 2002, kami bertemu dengan Ust Hj Muchlish di Tanah Suci Makkah. Dia memberi nasihat, katanya :
“Apa yang diharap masyarakat kepada golongan ustaz, kalau ke masjid hari jumaat, dialah yang paling lambat datang, dia duduk di belakang, dan dialah yang paling awal balik”
Misalkan saja seorang pegawai, dijemput menyampaikan ceramah tentang pengurusan masjid dan pengimarahannya, tetapi dia memang jenis bukan kaki masjid!
Bagaimanakah ceramahnya akan berkesan, sedang hakikatnya dia lupa dirinya sendiri, yang dia hanya datang ke masjid menjelang jumaat saja, itupun duduk di belakang. Bukankah kaedah dakwah itu menetapkan bahawa keberkesanan dakwah bermula dengan diri kita sendiri, kemudian barulah orang lain.
Semoga kita tidak termasuk orang-orang sebegitu..
Firman Allah : “Wahai orang beriman, kenapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak buat? Sungguh besar kemurkaan Allah, apabila kamu berkata sesuatu, tapi kamu tidak melaksanakannya”
Ulasan